Audit Negara: Pengurusan Bantuan Kewangan Kepada NGO Kurang Memuaskan

Diterbitkan: Selasa, 1 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengurusan pemberian bantuan kewangan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) didapati masih kurang memuaskan ekoran kelemahan pada 2006 masih belum diatasi serta beberapa kelemahan baharu yang dikenal pasti.

Antara punca kelemahan ialah pemantauan yang tidak mencukupi dan kurang berkesan, ketiadaan mekanisme jelas mengenai pemulangan semula wang bantuan yang tidak digunakan serta sikap NGO yang tidak peka terhadap syarat perjanjian.

Pengagihan geran/Bantuan Khas Perbendaharaan (BKP) tidak mematuhi syarat ditetapkan dengan bayaran kepada NGO dilakukan sebelum perjanjian ditandatangani, menurut laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentang di Dewan Rakyat, Selasa.

Selain itu, penggunaan Geran Rangsum, Geran Pentadbiran dan Elaun Khas Murid (Orang Kurang Upaya) oleh NGO tidak mematuhi syarat ditetapkan dalam perjanjian dan garis panduan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Laporan itu turut menyebut lebihan wang geran/BKP yang tidak digunakan NGO tidak dikutip semula seperti yang ditetapkan dalam perjanjian.

Bagi mengatasi kelemahan berkenaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensi yang terbabit dalam pengurusan bantuan kewangan disyor mengambil langkah wajar agar masalah itu dapat diselesaikan.

Laporan itu menyebut pemantauan berdasarkan mekanisme ditetapkan perlu dipertingkat bagi memastikan NGO mematuhi semua syarat ditetapkan dan tidak berlaku penyalahgunaan wang bantuan.

"Syarat perjanjian perlu dikuatkuasakan sepenuhnya dan tindakan tegas perlu diambil terhadap NGO yang gagal mematuhi syarat yang ditetapkan. Baki wang bantuan yang tidak dibelanjakan oleh NGO perlu dipungut selaras dengan syarat perjanjian," menurut laporan itu.

Selain itu, ketetapan aktiviti utama seperti skop perbelanjaan perlu dikaji semula bagi memastikan objektif pemberian bantuan kewangan kepada NGO dapat dicapai sepenuhnya.

Bagi tempoh 2010 hingga 2012, sejumlah RM109.35 juta diperuntukkan untuk geran dengan RM101.24 juta diagihkan kepada NGO sehingga Disember 2012.

Peruntukan keseluruhan BKP pula berjumlah RM11.95 juta dan RM11.96 juta diagihkan kepada NGO untuk melaksanakan 726 program sehingga Disember 2012. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan