ROS Diminta Henti Campuri Urusan DAP - Guan Eng - Berita Semasa | mStar

ROS Diminta Henti Campuri Urusan DAP - Guan Eng

Diterbitkan: Isnin, 30 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: DAP pada Isnin meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya berhenti mencampuri urusan parti itu selepas berakhirnya pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Ahad.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, keputusan perwakilan mengekalkan senarai 20 calon yang sama seperti pemilihan yang lalu membuktikan proses pemilihan semula itu diadakan secara telus dan bersih.

"Saya sebagai Setiausaha Agung DAP mendesak ROS hentikanlah sebarang usaha untuk terus mengganggu DAP. Apa jua keputusan pemilihan itu, ROS tidak harus menyalahgunakan kuasa mereka.

"Jika mahu melawan DAP, lakukannya pada pilihan raya, bukannya menggunakan ROS untuk mensabatoj kami (DAP)," katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada Isnin.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, keputusan perwakilan pada pemilihan semula Ahad lalu menunjukkan mereka juga menolak tindakan ROS mencampuri urusan parti.

Ketika ditanya mengenai kemerosotan undi di kalangan perwakilan yang mengundi beliau, Lim berkata: "Kita menghormati apa jua keputusan perwakilan. Kita hormati suara mereka kerana ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi."

Pada pemilihan semula Ahad lalu, Guan Eng menduduki tempat kelima dengan 1,304 undi, kurang 272 undi daripada pemilihan tahun lalu.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan