BN Siap Sedia Hadapi PRK Sungai Limau - Muhyiddin

Diterbitkan: Isnin, 30 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, di Kedah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, jentera pilihan raya BN perlu bekerja keras untuk meyakinkan pengundi Sungai Limau jika mahu menawan kerusi DUN itu.

"Jentera parti harus bersedia mulai sekarang dan kita tahu mesyuarat pertama (Umno Kedah) semalam telah diadakan supaya menghadapi pilihan raya kecil ini...mudah-mudahan kita berjaya," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi BN berkata demikian selepas perjumpaan khas bersama warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Zon Sabah di Dewan Sa'adah, Wisma Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) di sini, Isnin.

Pada mesyuarat khas Perhubungan Umno Negeri membincangkan persiapan pilihan raya kecil Sungai Limau di Kedah pada Ahad, Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dipetik sebagai berkata beberapa jawatankuasa khas bagi menghadapi pilihan raya kecil Sungai Limau ditubuhkan untuk menggerakkan jentera dan kempen BN.

Pilihan raya kecil itu bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya bekas Pesuruhjaya PAS Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius pada 26 September lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas, Azizan yang juga bekas menteri besar Kedah memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya, Mohd Fazillah Mohd Ali dari BN dengan majoriti 2,774 undi.

SPR dijadual mengadakan mesyuarat khas pada 3 Oktober di ibu pejabatnya untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan