Pemilihan 2013 Jadikan Umno Lebih Dinamik - Muhyiddin

Diterbitkan: Ahad, 29 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BENTONG: Umno mampu menjadi sebuah parti yang lebih dinamik, disegani dan dihormati selepas berakhirnya pemilihan pucuk pimpinan parti bulan depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata pemilihan itu bukan sahaja akan mencerminkan pengalaman dan keupayaan parti untuk memimpin orang Melayu malah sebagai tunjang utama kepimpinan negara.

"Ini kerana pilihan kali ini bukan sahaja jadi perhatian peringkat parti tetapi di peringkat nasional. Kita ingin memberi gambaran bahawa Umno adalah sebuah parti yang amat demokratik dengan memberi ruang sepenuhnya kepada mereka yang layak untuk menawarkan diri bertanding untuk dipilih sebagai kepimpinan parti.

"Proses pemilihan ini juga penting, bukan sekadar untuk peremajaan parti, tetapi (lebih penting) parti akan terus segar sebagai wadah perjuangan bagi orang Melayu dan rakyat Malaysia," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Simulasi PemilihanUmno 2013 di Institut Latihan Memperkasa Umno (ILMU) di Janda Baik, di sini, Sabtu.

Simulasi tiga hari itu yang bermula semalam bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kefahaman anggota parti mengenai kaedah baharu pemilihan yang julung kali diperkenalkan selepas pindaan Perlembagaan parti pada 2009 membabitkan kira-kira 1,400 orang peserta daripada seluruh Semenanjung dan Sabah.

Pengundian bagi pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat bahagian dan pusat akan berlangsung pada 12 Oktober ini manakala pengundian bagi bahagian dan Majlis Tertinggi pada 19 Oktober.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata beliau yakin proses pemilihan parti dapat diuruskan dan dijalankan dengan baik dengan pelbagai pendedahan yang diberikan oleh Jawantankuasa Pemilihan dengan bantuan urusetia ibu pejabat Umno.

"Kita cukup bersedia...saya fikir dengan simulasi, kursus, taklimat yang melibatkan sejumlah tenaga yang agak ramai di setiap peringkat bahagian seperti hari ini, saya fikir ia bukanlah satu perkara yang begitu susah untuk dilaksanakan. "Ini kerana proses pemilihan dalam Umno sudah berlaku sepanjang masa, cuma kali ini berlainan kerana jumlah yang boleh mengundi lebih besar," katanya.

Muhyiddin juga berharap proses kempen bagi pemilihan kali ini akan berlangsung dengan tertib dan teratur serta setiap yang terlibat sentiasa menjaga nama baik parti.

Mengenai jangkaan keputusan pemilihan parti, Muhyiddin berharap ia dapat diketahui selewat-lewatnya pada malam pengundian, tetapi tidak menolak kemungkinan akan berlaku kelewatan berdasarkan saiz perwakilan dan logistik.

Mengenai harapan kepada barisan kepimpinan yang diinginkan beliau selaku timbalan presiden parti, Muhyiddin berkata ia terpulang kepada keputusan anggota perwakilan.

"Ini bukan soal (kemahuan) presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan timbalan (Muhyiddin)...ini akan diputuskan oleh perwakilan yang akan membuat pemilihan. Saya pun tak boleh nak ramalkan macam mana dan jangan tanya pada saya (barisan) yang macam mana saya hendak," katanya.

Pada pemilihan kali ini, Najib dan Muhyiddin mengekalkan jawatan masing masing selepas diumum menang tanpa bertanding setelah tiada borang pencalonan lain dikemukakan bagi kedua-dua jawatan itu selepas tempoh pendaftaran calon berakhir Sabtu lepas. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan