16 Rakyat Malaysia Turut Sumbang Tenaga Bina Mahtab Masjidil Haram

Diterbitkan: Ahad, 29 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MAKKAH: Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa 16 anak muda Malaysia terlibat dalam projek pembesaran dan menaik taraf Masjidil Haram di sini.

Sebenarnya, mereka adalah tenaga profesional yang dipilih sebuah syarikat kejuteraan antarabangsa, Premier Composite Technologies yang mendapat tawaran kerja projek di Masjidil Haram.

Projek terbesar dalam sejarah pembinaan Masjdil Haram itu ialah untuk memperluas ruang solat kepada lebih 300,000 meter persegi dan mampu menampung sekurang-kurangnya 700,000 jemaah pada satu-satu masa.

Syarikat milik usahawan seorang rakyat Jerman beragama Islam berpangkalan di Dubai itu memilih anak-anak muda Malaysia untuk menyelia projek pembinaan Mahtab iaitu ruang tawaf bertingkat di sekeling Kaabah.

Pengurus tapak projek itu, Hairul Nizam Baharuddin, 36, berkata, beliau bertanggungjawab untuk mengurus projek dan menyelia lebih 100 pekerja termasuk 15 rakyat Malaysia yang berjawatan penyelia tapak dan projek.

"Pada asalnya kami bekerja dengan syarikat Premier Composite semasa satu projek di Melaka dan kemudiannya apabila syarikat ini mendapat tawaran projek di Masjidil Haram, kami ditawarkan untuk bekerja di sini," katanya anak muda dari Melaka itu kepada pemberita di sini, Ahad.

Katanya, sebelum ini rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi juga tidak mengetahui pembabitan anak Malaysia dalam kerja-kerja pembinaan di Masjidil Haram.

Bagaimanapun, baru-baru ini mereka bertemu dengan seorang ahli perniagaan Malaysia di sini yang mahu dikenali sebagai Pak Arshad dan melayan mereka seperti anak angkat.

"Pak Arshad yang mengetahui bahawa kami telah bekerja di sini kemudiannya membawa kami berkenalan dengan beberapa rakyat Malaysia yang tinggal di Arab Saudi," kata beliau.

Mereka mula bertugas di Makkah semasa projek pembinaan jam besar pada tahun 2010 dan terus berada di Arab Saudi setelah majikan mereka mendapat projek-projek lain di sekitar Masjidil Haram.

"Pembinaan Mahtab bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan tenaga pakar dengan teknologi terkini untuk menampung jutaan umat Islam berjalan di atasnya", katanya.

Mahtab bertingkat setinggi 13 meter dan selebar 13 meter itu dijangka siap dalam selepas musim haji tahun ini sebelum disambung dengan projek pembesaran masjid pula.

"Kami bekerja secara syif 24 jam sehari dan saya diberi tanggungjawab untuk menguruskan pekerja di tapak projek manakala rakan lain adalah penyelia projek," kata beliau.

Katanya, mereka mungkin berada di tanah suci itu selama enam tahun lagi berikutan masih banyak kerja-kerja tambahan akan dilakukan di kawasan masjid berkenaan.

Beliau berkata, tugas mereka begitu mencabar kerana terpaksa menyelia pekerja-pekeeja binaan yang datang dari serata dunia dan kebanyakannya adalah dari Bangladesh, Pakistan, Syria dan Mesir.

"Selain itu, waktu bekerja pula terhenti-henti kerana semua kerja terpaksa dihentikan sejam sebelum masuk waktu solat dan disambung semula selepas solat dan waktu bekerja kami terpaksa dipanjangkan sehingga malam," kata beliau.

Bagi penyelia tapak, Nursham Ibrahim, 40, beliau menganggap peluangnya untuk bekerja di tanah suci adalah satu rahmat kerana selain mendapat rezeki lumayan, mereka juga dapat menyumbang tenaga membina projek terbesar dalam sejarah di Masjdil Haram.

"Bagi saya ini adalah kemuncak kejayaan dalam karier, apa lagi yang boleh dibanggakan oleh kita sebagai umat Islam selain dari terlibat dalam pembinaan Masjdil Haram," kata beliau yang juga berasal dari Melaka.

Mengenai perancangan mereka setelah pulang ke tanah air kelak, Nursham berkata, mereka bercita-cita membentuk satu pasukan profesional bagi membuat satu projek yang bertaraf antarabangsa apabila pulang ke tanah air kelak.

"Ini baru setakat idea, kami belum boleh nyatakan apakah rancangan kami apabila pulang ke tanah air kelak setelah kerja-kerja projek di Masjidil Haram ini siap sepenuhnya kelak," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan