SPAD Gantung Lesen Pengendali Bas, Lori Gagal Patuhi Had Laju

Diterbitkan: Sabtu, 28 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengambil tindakan menggantung lesen pengendali bas dan lori yang tidak mematuhi peraturan had laju ditetapkan pihak berkuasa.

Menurut kenyataan SPAD, tindakan itu diambil mengikut Seksyen 27, 45 atau 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 jika terbukti bersalah.

Pekeliling berhubung perkara itu dikuat kuasa pada 20 Ogos lepas dan ini menjadikan pematuhan had kelajuan sebagai syarat wajib Lesen Pengendali.

Justeru, SPAD memberi amaran kepada semua pengendali bas dan lori agar sentiasa mematuhi peraturan had laju yang ditetapkan.

Selain itu, SPAD juga akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi mengesan dan menghukum mereka yang melanggar peraturan had laju, terutama membabitkan pengendali bas serta kenderaan berat.

Sejak 2010, bas persiaran dan bas ekspres wajib dilengkapi Global Positioning System (GPS) seperti termaktub dalam syarat pelesenan.

Kenderaan yang dilengkapi GPS boleh diguna pengendali dan SPAD bagi memantau setiap perjalanan dari pelbagai aspek, termasuk pelanggaran had kelajuan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan