Pemilihan Umno Bahagian Jerai Tidak Ganggu Proses PRK - Jamil Khir - Berita Semasa | mStar

Pemilihan Umno Bahagian Jerai Tidak Ganggu Proses PRK - Jamil Khir

Diterbitkan: Sabtu, 28 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YAN: Pemilihan Umno Bahagian Jerai tidak akan mengganggu proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jamil Khir, yang juga anggota Parlimen Jerai, berkata perkara itu juga tidak akan mendatangkan perpecahan di kalangan anggota Umno malah dapat mematangkan pendekatan mereka dalam berpolitik.

"Kaedah pemilihan kali ini tak ada kelompok kerana masing-masing tawarkan diri untuk bertanding dan mahu berkhidmat untuk parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Korobori Pengakap Kanak-kanak 2013 Peringkat Kedah di Kem Dara Mandi dekat sini, Sabtu.

Pada pemilihan parti kali ini Jamil Khir akan bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Jerai menentang penyandang, Datuk Shuhaimi Abdullah.

Jamil Khir berkata semua anggota Umno Jerai juga perlu bersiap sedia bagi menghadapi PRK DUN Sungai Limau berikutan kematian penyandang kerusi itu yang juga bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak Khamis lepas.

Azizan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai, selepas empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Allahyarham Azizan mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas setelah menewaskan sepupunya Fazillah Mohd Ali daripada Barisan Nasional dengan majoriti 2,774 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian PRK DUN Sungai Limau, dalam tempoh 10 hari selepas menerima notis kekosongan kerusi itu daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah.

Mengenai perkembangan jemaah haji, Jamil Khir berkata Tabung Haji bersiap sedia untuk membimbing serta membawa jemaah untuk melakukan wukuf di Padang Arafah 14 Oktober ini.

Katanya setakat ini sejumlah 17,000 jemaah negara ini berada di Makkah dan Madinah dan daripada jumlah itu 38 orang dirawat di hospital iaitu enam orang di Madinah dan 32 di Makkah disebabkan demam, asma dan kencing manis.

"Kita ada 17 lagi penerbangan untuk membawa baki jemaah yang bersiap sedia untuk menunaikan rukun Islam kelima itu," katanya. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan