Maybank Lantik Presiden-Pengarah Baharu Bagi BII Minggu Depan

Diterbitkan: Sabtu, 28 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) telah mengenal pasti calon bagi jawatan presiden-pengarah PT Bank Internasional Indonesia (BII) dan akan membuat pengumuman minggu depan.

Bagaimanapun, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, enggan menjelaskan lebih lanjut.

"Kami perlu memaklumkan kepada Bank Pusat Indonesia mengenai pengganti ini sebelum kami mengumumkannya kepada orang ramai," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Hari CR (Tanggungjawab Korporat) Global Maybank di sini Sabtu.

Pada 4 September, Presiden-Pengarah BII, Datuk Khairussaleh Ramli, meletakkan jawatan untuk pulang ke Malaysia kerana sebab-sebab peribadi.

Tentang pengganti Tengku Datuk Zafrul Tengku Aziz, yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank, Farid berkata bank itu sedang menyaring calon-calon berpotensi.

"Apa yang penting sekarang ialah mencari ketua perbankan global. Kami berharap dapat membuat keputusan itu dengan segera, tetapi kami memerlukan masa bagi proses itu," katanya.

Farid menerajui perbankan global sejak Julai 2010, dan kemudian, selepas dinaikkan pangkat sebagai CEO bagi Maybank Ogos lepas, Zafrul telah mengambil alih tanggungjawab bagi jawatan itu.

Sementara itu, seramai 21,000 pekerja Maybank di seluruh dunia mengambil bahagian dalam Hari CR Global Maybank, dengan melibatkan diri dalam 90 inisiatif masyarakat.

Bagi acara ini, Perkhidmatan Kewangan Komunitinya telah mengumpul lebih RM32,000, untuk digunakan bagi projek-projek dalaman di tiga sekolah bersepadu, tiga sekolah keperluan khas dan satu pertubuhan bukan kerajaan yang terpilih. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan