Kajian Menyeluruh Struktur Pertahanan Negara Bagi Tangani Ancaman -Hishammuddin

Diterbitkan: Sabtu, 28 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Kementerian Pertahanan akan menjalankan kajian menyeluruh berkaitan struktur pertahanan negara berdasarkan keperluan semasa bagi menangani ancaman luaran dan dalaman secara serentak.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Kementerian Pertahanan akan memberi keutamaan kepada pembinaan keupayaan pertahanan marin yang merupakan benteng hadapan bagi mengekang sebarang unsur ancaman.

"Bagi saya, soal keselamatan negara tidak boleh dikompromi. Ini kerana jika sektor keselamatan terjejas seperti yang berlaku di Lahad Datu, ia akan menjejaskan sektor lain seperti perladangan, pelancongan, pengeluaran, pendidikan dan pentadbiran. "Apa yang kita lalui di Lahad Datu dan Semporna merupakan satu 'panggilan kejut' yang kita tidak boleh ambil mudah. Walaupun keadaan dah kembali pulih seperti biasa namun dalam konteks Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esszone) yang melibatkan 10 daerah, ia mesti dipersiapkan dan kita pastikan ia berkekalan.

"Ancaman daripada mereka di luar dan dalam dunia tanpa sempadan ini merupakan satu ancaman yang boleh berlaku pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kempen Keselamatan Negara dan Kesejahteraan Rakyat di sini, Sabtu.

Hishammuddin berkata penstrukturan semula itu ialah bagi memastikan anggota keselamatan yang bakal ditempatkan di Sabah benar-benar dilengkapi perkakas sesuai dengan lanskap terpaksa dilalui.

Beliau berkata di bawah penstrukturan ini, inisiatif awal ialah pemerkasaan Esscom membabitkan penyusunan semula Divisyen/Briged Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan sebahagian kekuatan divisyen, briged dan PGA di Semenanjung dipindah ke Esszone.

Katanya, jika pandangan Perisikan Tentera dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia menunjukkan ancaman semasa di Semenanjung di tahap rendah, maka pemindahan sebahagian kekuatan ke Esszone akan menjimatkan kewangan kerajaan dalam tempoh sederhana dan panjang.

Hishammudin berkata kekuatan keanggotaan sedia ada juga perlu dioptimum dengan mempertingkat penggunaan teknologi senjata dan pemantauan canggih selain meningkatkan kemahiran serta pengetahuan anggota keselamatan.

Beliau turut mencadangkan agar kaedah dan konsep pembinaan kem baharu seperti Industrialised Building System (IBS) diperkenal kerana lebih praktikal selain menjimatkan perbelanjaan dan masa. "Pihak ESSCOM juga wajar membina jaringan pertahanan berlapis. Lapisan luaran membabitkan aspek perisikan dan analisis geo strategik. "Kedua memastikan ruang maritim dan pesisir pantai dimantapkan secara komprehensif dan ketiga membina jaringan kerjasama dengan pasukan keslematan iaitu PDRM bagi memastikan aspek keselematan dalaman Sabah," katanya.

Mengulas tempoh kajian itu, Hishammuddin berkata perkara berkenaan sedang berjalan dan laporannya akan diserah dan diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negara. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan