Gelombang Pertama PPPM, Rapatkan Jurang Sekolah Bandar/Luar Bandar - Mary Yap

Diterbitkan: Sabtu, 28 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Inisiatif merapatkan jurang sekolah bandar dan luar bandar merupakan antara 25 inisiatif yang bakal dilaksanakan di bawah gelombang pertama pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching.

Katanya pelaksanaan inisiatif di bawah gelombang pertama mulai tahun ini hingga 2015 itu, adalah bagi mengurangkan jurang pencapaian sekolah bandar dan luar bandar yang agak ketara kini.

"Kita juga nak menurunkan kuasa kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan pejabat pendidikan daerah (bagi Meningkatkan kecekapan pentadbiran)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan peringkat Daerah Tawau di sini, Sabtu.

Menurut Yap inisiatif lain yang bakal dilaksanakan di bawah gelombang pertama ialah meningkatkan kualiti guru, pengetua serta pentadbiran pengurusan sekolah memandangkan antara prasyarat melahirkan pelajar berkualiti ialah melalui guru, guru besar dan pengetua berkualiti.

Sehubungan itu, Yap berkata mulai tahun depan, setiap guru yang bakal dilantik menjadi guru besar atau pengetua akan melalui latihan khusus di Institut Aminuddin Baki bagi memastikan mereka benar-benar layak memimpin sebuah sekolah.

Selain itu, calon-calon guru dari kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Semenanjung akan disyarat memperoleh sekurang-kurangnya tujuh A manakala calon dari Sabah dan Sarawak perlu memperoleh lima A, untuk melayakkan diri memasuki institut perguruan, katanya.

"Semua ini dilakukan kementerian bagi memastikan guru yang dilahirkan di kalangan mereka mempunyai latar belakang pendidikan cemerlang," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan