30 Tarik Diri Tanding Pelbagai Jawatan di Kelantan - Mustapa

Diterbitkan: Sabtu, 28 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Sebanyak 30 individu menarik diri daripada bertanding pelbagai jawatan peringkat bahagian dan pergerakan Umno pada pemilihan parti di Kelantan, Oktober ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tiga daripadanya menarik diri untuk bertanding jawatan ketua Umno bahagian dan selebihnya pelbagai jawatan di peringkat bahagian dan sayap.

"Sebanyak 30 yang menarik diri ini daripada keseluruhan 2,595 calon di Kelantan. Umno Kelantan akan mengetahui senarai penuh calon yang layak bertanding pada 7 Okt depan selepas diputuskan Umno Pusat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan di sini, Sabtu.

Mereka yang menarik diri ialah lima orang di Machang, Ketereh (dua), Tanah Merah (tiga), Bachok (lima), Pengkalan Chepa (tiga), Gua Musang (lima), Pasir Mas (tiga), Tanah Merah (satu), Kota Baharu (dua) dan Kuala Krai (satu).

Mustapa berkata pada mesyuarat itu, Umno Kelantan bersetuju untuk menyokong semua 14 calon yang menawarkan diri untuk bertanding di peringkat Majlis Tertinggi (MT) dan exco pergerakan.

Mereka membabitkan lima orang di peringkat MT, Wanita (lima), Pemuda (tiga) dan Puteri (satu).

Selain Mustapa, lima yang menawarkan diri bertanding di peringkat MT ialah Ketua Umno Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa, Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman, Timbalan Ketua Umno Bahagian Ketereh Datuk Md Alwi Che Ahmad dan bekas Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang Datuk Mohd Zain Ismail.

Mustapa turut mengingatkan calon supaya berkempen dengan penuh berhemah dan menolak politik wang.

"Kita nasihatkan calon supaya bertanding secara baik, jangan ada berpuak. Kita tidak mahu akibat pertandingan, berpecah kita, makin kecil parti kita. Apa yang kita buat ini untuk mengukuhkan parti," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan