19 MCA Bahagian Sokong Chua Pertahan Jawatan - Berita Semasa | mStar

19 MCA Bahagian Sokong Chua Pertahan Jawatan

Diterbitkan: Sabtu, 28 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Kira-kira 19 MCA Bahagian menyatakan sokongan mereka terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Disember ini.

Mereka yang terdiri daripada 11 ketua bahagian dan lapan timbalan turut menyatakan tujuh perkara utama yang mengisytiharkan mereka tidak yakin terhadap timbalan presiden Datuk Seri Liow Tion Lai untuk bertanding jawatan presiden.

Johor mempunyai 26 MCA bahagian.

Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh, jurucakap kumpulan itu membacakan kenyataan tersebut.

Beliau berkata Dr Chua tidak harus dipersalahkan sepenuhnya terhadap kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

"Terdapat pelbagai sebab, termasuk kaum Cina mahukan perubahan dalam kerajaan dan menyokong Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Teoh yang juga naib pengerusi MCA negeri berkata, apabila MCA berdepan kekalahan teruk, Liow tidak mempunyai inisiatif untuk bertanggungjawab tetapi menyalahkan orang lain.

"MCA kini berada dalam situasi yang teruk dan parti memerlukan pemimpin yang boleh menerajui parti.

"MCA tidak akan maju jika parti dibawah kepimpinan yang lemah dan tidak yakin," katanya.

Ketika ditanya sama ada kumpulan itu menyokong Liow untuk kekal sebagai timbalan, beliau berkata:"Kami hanya menyuarakan sokongan terhadap pemimpin Nombor 1 untuk kekal manakala pemimpin Nombor 2 sedia ada tidak boleh menjadi Nombor 1. Kami belum memutuskan Nombor 2 untuk mengekalkan jawatannya."

Antara MCA bahagian yang tidak hadir pada sidang media itu adalah Pagoh, Simpang Renggam, Pasir Gudang dan Tanjung Piai.

Sementara itu, setiausaha MCA negeri, Tay Puay Chuan berkata, barisan kepimpinan itu memutuskan untuk menyokong Dr Chua kerana wujud kempen untuk menjatuhkan presiden.

Katanya, cubaan itu termasuk sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada 23 pemimpin bahagian yang meminta Dr Chua untuk mengisytiharkan aset pengurusan MCA.

Tay berkata agak pelik untuk dua ahli jawatankuasa pusat MCA terlibat dengan kumpulan itu kerana terdapat dua taklimat mengenai aset MCA oleh juruaudit parti.

Johor akan menghantar 422 perwakilan untuk pemilihan parti pada Disember ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan