Tidak Boleh Sesuka Hati Bawa Masuk Abu Atau Mayat Ke Negara Ini - KPN - Berita Semasa | mStar

Tidak Boleh Sesuka Hati Bawa Masuk Abu Atau Mayat Ke Negara Ini - KPN

Diterbitkan: Jumaat, 27 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Mereka yang mahu membawa masuk abu atau mayat ke negara ini perlu memohon permit terlebih dahulu sebelum boleh berbuat demikian.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perkara itu termaktub mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit serta garis panduan pengimportan dan pengeksportan mayat atau mana-mana bahagiannya.

"Sesiapa yang nak membawa apa juga 'remains' atau abu mayat masuk ke negara ini tanpa permit itu akan menjadi satu kesalahan. Kita takut abu mayat ini ada penyakit berjangkit.

"Jadi jangan ingat tak ada undang-undang untuk kita menyekatnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di sini Jumaat.

Khalid mengulas laporan sebuah portal berita bahawa Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus untuk menghalang abu atau mayat Chin Peng dibawa masuk ke negara ini selepas bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu meninggal dunia di Bangkok, Thailand pada 16 September lepas.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan mayat atau abu mayat Chin Peng tidak akan dibenar dibawa masuk ke negara ini sebagai menghormati keluarga dan waris anggota pasukan keselamatan serta rakyat yang terkorban ketika PKM melancarkan perang gerila untuk menggulingkan kerajaan ketika itu.

Mengulas perkara berkaitan, Khalid berkata mereka yang didapati cuba menghidupkan semula fahaman komunisme di negara ini boleh ditahan berdasarkan beberapa undang-undang.

Antaranya ialah Akta Pertubuhan, Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan