PRK Sungai Limau: Polis Tunggu Pegumuman SPR -KPN - Berita Semasa | mStar

PRK Sungai Limau: Polis Tunggu Pegumuman SPR -KPN

Diterbitkan: Jumaat, 27 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Polis menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Azizan Abdul Razak pada Khamis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu.

"Kami tunggu pengumuman notis dikemukakan kepada SPR, dan selepas kita dapat tarikh penamaan calon dan sebagainya, kami akan mulakan apa juga tindakan yang patut. "Kami memang sentiasa bersedia dengan apa saja kemungkinan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang turut dihadiri Pengarah JSJ Datuk Hadi Ho Abdullah, Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan timbalannya Datuk Mazlan Lazim di sini, Jumaat.

Azizan meninggal dunia pada pukul 11.05 pagi semalam di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah, selepas mengalami jangkitan kuman dalam darah termasuk pelbagai kegagalan organ dalaman.

Akhbar melaporkan Yang Dipertua DUN Kedah Datuk Md Rozai Safian berkata notis makluman mengenai kekosongan kerusi Sungai Limau akan diserah kepada SPR paling awal Ahad ini.

Dalam pada itu, Khalid menegaskan polis tidak gentar dengan ugutan anggota kongsi gelap terhadap beberapa pegawainya dan akan mengesan individu atau pertubuhan itu. "Mereka cuba mengacah sahaja. Jadi kami akan kesan mereka ini. Saya rasa pegawai-pegawai kami tidak gentar dengan ugutan-ugutan begini. "Kumpulan kongsi gelap bukan sebahagian daripada masyarakat, jadi adalah menjadi tanggungjawab polis menghapuskan segala aktiviti-aktiviti yang bukan sebahagian daripada masyarakat kita," katanya.

Mengulas isu di kawasan sempadan Malaysia-Thailand pula, Khalid berkata polis memantau rapi aktiviti berkaitan rentas sempadan dan ia berada dalam keadaan terkawal.

"Apabila keadaan memaksa kita untuk menutup sempadan oleh kerana sebab tertentu, kita akan laksanakannya," katanya.

Beliau berkata polis turut memantau rapi aktiviti penyeludupan dan mengambil tindakan sewajarnya. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan