Pilihlah Pemimpin Dengan Bijak - Dr Mahathir

Diterbitkan: Khamis, 26 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa anggota perwakilan parti itu supaya memilih pemimpin dengan bijak, berdasarkan latar belakang calon dan potensi mereka untuk membawa kebaikan kepada parti.

Dalam kenyataan menjelang pemilihan Umno bulan depan, bekas perdana menteri itu berkata anggota perwakilan memikul tanggungjawab besar untuk memberi undi mereka kepada calon yang berkaliber dari segi kepimpinan seperti yang diperlukan Umno.

"Janganlah pilih semata-mata kerana dia (calon) 'orang saya', (dan) tidak peduli apa yang orang itu buat. Sikap begitu, tidak baik. Mereka kena bijak membuat pilihan berdasarkan perwatakan, personaliti dan potensi seseorang," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah mengenai "Persiapan Belia Menuju Wawasan 2020' di Pusat Belia Antarabangsa di Cheras di sini Rabu.

Katanya keputusan mengekalkan kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden Umno dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalannya tanpa bertanding membuktikan Umno kukuh dan bersatu-padu.

"Bila tidak ada pertandingan, kuranglah kemungkinan berlaku perpecahan dalam parti kerana jika ada pertandingan seperti pada zaman saya, yang kalah akan pergi ke mahkamah dan membentuk parti baharu," katanya.

Ditanya tentang langkah anaknya Datuk Mukhriz untuk bertanding kerusi naib presiden, Dr Mahathir berkata: "Terpulang pada dia (Mukhriz) dan penilaian orang terhadap dirinya...saya tidak bagi nasihat secara terbuka.

Sementara itu, dalam ceramah beliau, Dr Mahathir mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak memegang kuasa melebihi tempoh sepatutnya dan "berundurlah apabila tiba masanya untuk mereka berundur" serta memberi laluan kepada pemimpin lebih muda dan berkebolehan untuk mengelak daripada ditolak rakyat.

"Pemimpin tidak boleh memegang kuasa melebihi hadnya, demikian lebih kurang kata emak saya. Peganglah kuasa untuk tempoh yang dianggap wajar. Orang muda yang lebih pintar pula akan menyertai parti dan dengan ini kepimpinan parti akan menjadi lebih mantap.

"Jika tidak, kita akan ada semakin ramai orang bodoh dalam parti dan akhirnya ia akan ditolak," katanya.

Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia, khususnya belia, perlu dipupuk dengan nilai mulia ketika negara ini berusaha untuk mencapai taraf negara maju.

"Saya suka menegaskan dengan berulang kali tentang betapa perlunya rakyat kita memiliki perwatakan serta nilai-nilai yang baik supaya apabila kita mencapai Wawasan 2020, kita sudah berjaya membina sebuah negara hebat," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau yakin Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan sekiranya rakyat berdisiplin dan sedar sepenuhnya tentang tanggungjawab masing-masing terhadap negara. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan