Kesalahan Rogol Akan Dipenjara Sehingga 30 Tahun

Diterbitkan: Khamis, 26 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 yang dibentangkan pada Rabu memperuntukkan hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang melakukan jenayah seksual, jenayah terancang serta mencederakan pasangan masing-masing.

Rang undang-undang itu dibentangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat, Rabu.

Bagi kesalahan jenayah seksual, rang undang-undang itu memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun berbanding 20 tahun ketika ini selain menaikkan hukuman minimum daripada lima tahun kepada 10 tahun.

Pindaan itu untuk memasukkan seksyen baharu 375B ke dalam Akta 574 (Kanun Keseksaan) yang memperuntukkan bagi kesalahan baharu rogol secara berkumpulan yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun.

Pindaan turut membabitkan meminda Seksyen 376B untuk menaikkan hukuman bagi sumbang mahram daripada tempoh pemenjaraan tidak kurang daripada enam tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun kepada tidak kurang daripada 10 tahun dan lebih daripada 30 tahun.

Seksyen 377CA dipinda untuk menaikkan hukuman bagi rogol yang menggunakan apa-apa objek daripada tempoh pemenjaraan sehingga 20 tahun kepada tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun.

Rang undang-undang itu turut meminda seksyen 377E untuk menaikkan hukuman menghasut kanak-kanak melakukan perbuatan kelucahan yang melampau daripada tempoh pemenjaraan sehingga lima tahun kepada tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun.

Rang undang-undang itu turut memasukkan seksyen baharu 130X, 130Y, 130Z, 130ZA, 130ZB dan 130ZC ke dalam BabVIB untuk mewujudkan kesalahan tambahan seperti melindungi, bergaul, merekrut atau mengambil bahagian dalam kumpulan jenayah terancang serta menerima suapan untuk memudahkan atau membolehkan aktiviti jenayah terancang.

Bagi kategori jenayah terancang, rang undang-undang itu memperuntukkan hukuman pemenjaraan tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun, dan boleh dikenakan denda.

Fasal tiga di dalam rang undang-undang itu turut memasukkan seksyen baharu 75A iaitu peruntukan bagi pemenjaraan mandatori tidak kurang daripada dua kali ganda tempoh lebih panjang bagi pesalah berulang yang melakukan kesalahan berat.

Tujuan pindaan juga untuk memasukkan seksyen baharu 326A yang memperuntukkan hukuman bagi pasangan yang menyebabkan kecederaan manakala kemasukan seksyen baharu 352A memperuntukkan hukuman bagi penggunaan kekerasan jenayah oleh pasangan.

Rang undang-undang itu turut memasukkan seksyen baharu 203A yang memperuntukkan bagi suatu kesalahan baharu iaitu mendedahkan maklumat yang membawa penalti denda tidak lebih daripada RM1 juta atau pemenjaraan bagi tempoh sehingga satu tahun atau kedua-duanya.

Tujuan pindaan juga untuk memasukkan seksyen baharu 121E berhubung tindakan menggunakan, mengiktiraf dan mempromosi bendera kebangsaan selain daripada bendera Malaysia.

Sesiapa yang mencacatkan, merosakkan, mengotori secara fizikal, bakar, meletakkan pada lantai atau tanah, memijak, mencemari, memusnahkan, menghina atau mempersoal dengan niat tidak menghormati mana-mana lambang atau bendera kebangsaan atau bendera negara asing hendaklah dihukum dengan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 15 tahun dan boleh juga didenda.

Sesiapa yang menggunakan, mengiktiraf atau menggalakkan penggunaan mana-mana bendera yang bertujuan mewakili Malaysia selain daripada bendera dinyatakan sebagai bendera Malaysia di bawah Jadual kepada Akta 1963 Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) atau mana-mana negeri di Malaysia selain daripada bendera yang diperuntukkan berkaitan undang-undang di setiap negeri, hendaklah dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan boleh juga didenda. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan