Jangan Guna Parlimen Untuk Kepentingan Peribadi - Pandikar

Diterbitkan: Khamis, 26 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengingatkan Ahli Parlimen agar tidak menggunakan Sidang Parlimen untuk kepentingan peribadi masing-masing.

Pandikar berkata oleh sebab itu beliau tidak membenarkan orang luar masuk dan menggunakan kemudahan Parlimen untuk kepentingan masing-masing. "Ini yang saya cuba menangani dari tahun 2008. Kita tidak galakkan orang luar datang ke Parlimen dan menggunakan kemudahan di sini tanpa kebenaran saya.

"Sebabnya demi menjamin keselamatan kita semua, sebab itu kita tidak benarkan mereka masuk. Di mana- mana Parlimen dunia apabila kita buat perbandingan tak ada yang bebas macam kita di sini," katanya pada sidang media di pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Khamis.

Pada Rabu, Surendran yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, diarah keluar daripada sidang Dewan Rakyat kerana membangkitkan satu petisyen meskipun ia tidak diluluskan oleh speaker.

Beliau yang menjadi ahli parlimen untuk penggal pertama itu membangkitkan mengenai kematian tahanan P.Karuna Nithi tetapi diberitahu oleh Speaker supaya menunggu sehingga selepas sesi soal jawab.

Kekecohan itu menyebabkan Pandikar mengarahkan Surendran keluar dari Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Pandikar berkata ada wakil rakyat di negara ini sengaja menggunakan istilah demokrasi untuk melakukan apa sahaja demi kepentingan peribadi mereka.

"Takkan atas nama demokrasi kita hendak berkompromi dalam soal keselamatan. Ahli-ahli Parlimen yang membawa orang luar ke Parlimen perlu berfikir sama ada mereka ini ada kepentingan peribadi dengan mereka.

"Seumpamanya dia (N. Surendran mempunyai hubungan atau kepentingan peribadi dengan keluarga si mati dalam tahanan polis.

"Jika dia (Surendran) sebagai peguam yang mewakili keluarga si mati dia harus beritahu kepada dewan dia ada kepentingan peribadi. Dia bawa isu itu bagi saya, semata-mata untuk kepentingan peribadi," katanya.

Jelasnya, Ahli Parlimen sedemikian sengaja membawa isu tersebut untuk mendapatkan simpati dan liputan daripada pihak akhbar agar dia diangkat sebagai 'hero' yang memperjuangkan nasib rakyat.

"Kerana apabila dapat liputan akhbar dia pasti akan dilihat sebagai 'hero' dalam isu tersebut.

"Dia mahu dilihat berani, kerana bawa isu ke Parlimen hingga bertegang dengan Speaker, kalau dihalau pun tak apa. Mungkin itu agenda sebenarnya, dan saya telah terangkan kepada beliau (Surendran) dan dia menerimanya dengan terbuka.

"Saya bukan ahli politik yang ada agenda tertentu yang jaga integriti Parlimen," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan