DUN Sungai Limau PRK Kedua Selepas PRU-13

Diterbitkan: Khamis, 26 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Azizan Abdul Razak
Azizan Abdul Razak

PETALING JAYA: Kurang tiga bulan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut berakhir pada 24 Julai lalu, satu lagi pilihan raya kecil dijangka akan diadakan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau, Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada Khamis.

Mengikut peraturan, PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) memaklumkan kekosongan kerusi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini bermakna PRK DUN Sungai Limau akan diadakan selewat-lewatnya pada hujung November depan, sekali gus menjadi PRK kedua dalam tempoh enam bulan selepas PRU-13 diadakan iaitu pada 5 Mei lalu.

Azizan, 69, yang juga bekas Menteri Besar Kedah meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah akibat jangkitan pada darah dan kegagalan organ iaitu hampir sebulan selepas mengangkat sumpah jawatan yang dibuat pada 21 Ogos lalu.

Allahyarham mengangkat sumpah di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital yang sama, sekali gus melenyapkan spekulasi bahawa beliau akan melepaskan jawatan tersebut.

Azizan yang menang dalam PRU-13 bagaimanapun tidak sempat menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat sepenuhnya apabila beliau dimasukkan ke Kedah Medical Centre pada 6 Mei akibat bengkak kaki dan dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang keesokan harinya.

Kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei akibat jangkitan kuman yang serius.

Berdasarkan rekod, Azizan dilaporkan sering mengalami masalah kesihatan ketika memegang jawatan sebagai menteri besar dan pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Pada 29 Ogos tahun lalu, ketika Kedah masih di bawah pimpinan PAS, beliau dimasukkan ke hospital selama seminggu atas nasihat doktor.

Beliau juga pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada tahun 2011 dan sering dilihat berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ekoran masalah kesihatan yang dialaminya, Umno dan parti Gerakan Kedah pernah menggesa agar kerajaan negeri mewujudkan jawatan timbalan menteri besar bagi melaksanakan tugas-tugas Azizan.

Azizan bagaimanapun ketika itu berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana beliau masih mampu menjalankan tugas selain percaya terhadap barisan ahli mesyuarat kerajaan negeri (exco) yang boleh menjalankan tugas dengan baik semasa beliau bercuti sakit.

Pun begitu, beliau pernah berkata bahawa akan akur jika pimpinan PAS memutuskan sedemikian (bagi melantik timbalan menteri besar).

"Saya tak minta jadi Menteri Besar, depa yang suruh... kalau depa suruh berhenti, esok pun tak pa," katanya.

Ini bermakna, PAS telah mengambil risiko dengan terus meletakkan beliau sebagai calon untuk bertanding pada PRU-13 lalu.

Keputusan PAS itu membuahkan hasil apabila Azizan berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau dalam pertembungan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Fazillah Mohd Ali dan dua lagi calon Bebas iaitu Sobri Ahmad dan Abdullah Hashim.

Azizan memperoleh 13,294 undi manakala Mohd Fazillah yang juga sepupunya mendapat 10,520 undi.

Sobri dan Abdullah masing-masing mendapat 100 dan 84 undi.

Untuk rekod, Azizan memenangi DUN Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai DUN Sala) mulai 1995 hingga 2013.

Bagaimanapun, pada PRU-13 lalu, PAS kehilangan kuasa pentadbiran kerajaan negeri apabila BN memenangi 21 dari 36 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Dilahirkan pada tahun 1944 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah, Azizan menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau dan menyambung pengajian di peringkat Menengah di Maktab Mahmud, Alor Star.

Beliau merupakan lulusan Universiti Al – Azhar, Mesir, dan University of Kent, Centerbury, England.

Mula menyertai PAS pada tahun 1978 ketika di England, pada 1986 beliau kemudiannya bergiat aktif dalam PAS di Malaysia.

Antara jawatan yang pernah dipegang beliau termasuklah naib presiden PAS, ketua penerangan PAS Pusat, AJK PAS Pusat dan ahli Majlis Syura PAS.

Azizan meninggalkan dua orang isteri, 14 anak dan enam cucu.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata suruhanjaya itu akan memutuskan mengenai pilihan raya kecil DUN Sungai Limau sebaik sahaja menerima notis kekosongan daripada Speaker DUN.

"Kami akan menunggu surat rasmi bersama-sama dengan surat dari hospital untuk mengesahkan terdapatnya kekosongan (kerusi DUN).

"Kemudian, barulah kita dapat mengadakan mesyuarat untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari," katanya seperti dipetik dari Star Online, Khamis.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan