Tiga Daerah Dipilih Perintis Penempatan Semula Perkampungan Air Di Sabah - Shahidan

Diterbitkan: Rabu, 25 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiga daerah dipilih sebagai projek perintis bagi penempatan semula perkampungan air di Sabah di bawah program Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tiga daerah itu ialah Kampung Simunul di Semporna, Kampung Mangkalinau (Sandakan) dan Kampung Puyut di Lahad Datu.

Beliau berkata, proses bancian untuk Kampung Simunul telah dilakukan selama tiga hari bermula 30 Julai lalu manakala proses bancian di dua lagi daerah akan dijalankan pada 28 hingga 30 September dan 10 Oktober.

"Proses bancian dijalankan untuk memastikan proses penempatan semula ini dapat dijalankan secara teratur seperti mengikut perancangan," katanya di persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) yang ingin tahu adakah kerajaan telah melaksanakan bancian penempatan penyusunan air di perkampungan timur Sabah.

Menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN-Kabalakan), Shahidan berkata projek bancian itu dijalankan bagi memastikan warganegara mendapat faedah daripada projek penyusunan semula memandangkan terdapat warga asing yang turut menetap di perkampungan air berkenaan.

Shahidan juga memberitahu projek penempatan semula itu secara keseluruhan akan melibatkan 131 perkampungan di 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Kunak, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Sandakan.

Jelas beliau, kerajaan Persekutuan membiayai peruntukan bagi projek perintis itu memandangkan Esscom merupakan agensi keselamatan ditubuhkan kerajaan untuk membendung kejadian pencerobohan sempadan negara di Sabah.

Kepada soalan tambahan Datuk Mansor Othman (PKR-Nibong Tebal) yang ingin tahu tentang perincian syarikat yang dilantik untuk melakukan bancian serta kos yang terlibat, Shahidan berkata ia akan dijawab secara bertulis. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan