Ketua Pemuda Umno: Lima Termasuk Khairy Teruskan Cabaran

Diterbitkan: Rabu, 25 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Cabaran merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno pada pemilihan parti Oktober ini diteruskan lima calonnya termasuk penyandang Khairy Jamaluddin Abu Bakar setelah tiada individu yang menarik diri selepas tamat "tempoh bertenang" Selasa.

Selain Khairy, empat calon lain yang akan bertanding merebut jawatan itu ialah Penolong Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Pandan Syed Rosli Syed Harman Jamallulail, Ketua Pemuda Cawangan Bendang Baru, Langkawi Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok Abd Karim Ali serta Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar.

Pengumuman mengenai calon yang akan bertanding pada pemilihan Umno 2013 dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tan Sri Tajol Rosli Ghazali di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Rabu.

Jawatan Naib Ketua Pemuda juga kekal, yang setakat ini menyaksikan empat pemimpin dalam kalangan exco sayap iaitu Lokman Noor Adam, Khairul Azwan Harun, Jamawi Jaafar dan Mohamad Iruan Zulkefli berentap sesama sendiri setelah masing-masing layak bertanding dalam pemilihan parti kali ini.

Seramai 94 individu menawar diri untuk bertanding kesemua 24 jawatan yang dipertandingkan terdiri daripada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda dan 20 Exco dalam pergerakan Pemuda Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Jawatan Pengerusi Tetap Pemuda setakat ini menyaksikan persaingan tiga individu termasuk penyandangnya Datuk Abdul Fattah Abdullah dengan jawatan Timbalan Pengerusi Tetap ditandingi lima calon termasuk penyandangnya Muhammad Yadzan Mohammad dan Exco (77).

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan bagi jawatan Exco pusat bagi ketiga-tiga sayap parti itu akan diadakan serentak pada 12 Oktober. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan