Zulkifli Mahu Perwakilan Tolak Konsep 'Parti Keluarga'

Diterbitkan: Selasa, 24 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Bekas Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Zulkifli Mohd Noor mahu perwakilan parti itu menolak 'parti keluarga' pada pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Eksekutif (CEC) DAP pada 29 September nanti agar barisan yang dipilih lebih bersifat demokratik untuk memperjuang nasib pelbagai kaum.

Beliau berkata slogan demokrasi dan ungkapan berbilang kaum yang dilaung-laungkan selama ini oleh DAP hanya bersifat hipokrit dan indah khabar daripada rupa.

Daripada maklumat yang diperolehnya sewaktu kempen yang diadakan sempena pemilihan itu, Zulkifli berkata anggota perwakilan nampaknya sudah mula sedar bahawa perjuangan politik DAP dimonopoli oleh keluarga tertentu.

"Sudah sampai masanya istilah 'ubah' harus dipakai dalam parti ini untuk menolak corak kepimpinan yang bersifat kekeluargaan kerana ia punca berlakunya perpecahan dalam parti.

"Disebabkan penguasaan sesebuah keluarga inilah yang telah melenyapkan penampilan serta perjuangan parti dari sudut berbilang kaum," katanya dalam sidang media yang diadakan di sini, Selasa.

Selain itu, Zulkifli berkata anggota perwakilan juga mula sedar bahawa parti DAP juga memerlukan penglibatan kepimpinan Melayu di peringkat tertinggi bagi meraih sokongan orang Melayu.

"Parti DAP sepatutnya sudah lama membenarkan banyak pemimpin Melayu berada di peringkat tertinggi barisan kepimpinan tetapi kerana masih wujud 'keluarga tertentu' maka itulah DAP dianggap perkauman dan antiMelayu," katanya.

Oleh sebab itu beliau mencabar kepimpinan tertinggi DAP untuk melantiknya sebagai pengerusi kebangsaan DAP menggantikan Karpal Singh sekiranya beliau terpilih pada pemilihan semula CEC nanti.

"Saya cabar mereka lantik saya, sekiranya Karpal Singh mengundur diri atau mahu bersara daripada memegang jawatan itu, bukan niat saya mahu ketepikan dia (Karpal Singh) tetapi sekiranya dia mahu berundur, saya sedia menawar diri.

"Apa salahnya selepas 47 tahun, DAP beri jawatan pengerusi kebangsaan kepada orang Melayu," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan