PM 'Tweet' Dari Ibu Pejabat Twitter

Diterbitkan: Selasa, 24 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SAN FRANCISCO: "Meeting Twitter CEO @ dickc at Twitter HQ" dan "Great Session at Twitter HQ. A wonderful platform to engage with Malaysians n the Global Community".

("Berjumpa CEO Twitter @ dickc di Ibu pejabat Twitter" dan "Sesi Hebat di Ibu pejabat Twitter. Platform menarik untuk berhubung dengan rakyat Malaysia dan komuniti global".) Dua mesej ini dihantar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akaun Twitternya @NajibRazak ketika berada di ibu pejabat Twitter di Market Street, di sini pada Isnin.

Najib yang turut menyertakan gambar beliau berjabat tangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter Dick Costolo, menghantar mesej berkenaan menggunakan telefon pintarnya, dan disaksikan oleh Costolo.

Gambar itu menunjukkan Najib dan Costolo berjabat tangan dengan logo korporat Twitter berwarna biru sebagai latar belakang.

Terdahulu, Najib yang tiba di ibu pejabat Twitter kira-kira pukul 10 pagi dibawa meninjau di sekitar pejabat itu oleh pegawai kanan syarikat.

Menurut kenyataan media Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC), Najib kemudian bermesyuarat bersama-sama Costolo dan pihak pengurusan kanan syarikat itu.

Turut mengiringi Najib dalam lawatan itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh dan CEO serta pegawai kanan beberapa buah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Twitter merupakan perkhidmatan jaringan sosial dalam talian dan 'mikroblogging' yang membolehkan pengguna menghantar dan membaca 'tweet', iaitu mesej teks yang terhad kepada 140 aksara.

Perkhidmatan itu dibangunkan oleh Jack Dorsey pada Mac 2006 dan dilancar empat bulan kemudian pada Julai. Sistem itu meraih populariti dengan pantas dan pada 2012 sahaja mempunyai 500 juta pengguna berdaftar yang memaparkan 340 juta 'tweet' (mesej) sehari dan sekarang merupakan antara 10 laman sosial paling dilayari di dunia.

Najib ialah antara beberapa pemimpin dunia yang dikatakan paling aktif 'tweeting' (menghantar mesej).

"Saya guna Twitter untuk berhubung dengan rakyat Malaysia, di tanah air dan juga di luar negara," Najib dipetik berkata dalam mesyuarat itu oleh MDeC.

"Memahami kehendak dan sentimen rakyat membantu saya dan pasukan saya menggubal dasar yang lebih baik bagi menangani isu membabitkan semua rakyat Malaysia," katanya.

Rasa ingin tahu Najib mengenai bagaimana 'Data Besar' boleh diguna untuk meningkatkan kelestarian dan keterangkuman dalam kalangan rakyat Malaysia, mendorong beliau mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat Twitter itu.

Dalam lawatan itu, Najib dirai oleh Costolo yang turut menyampaikan taklimat mengenai 'impak media sosial terhadap sistem penyampaian kerajaan', 'mediasosial dan data beranalisis', serta 'Twitter dan keusahawanan sosial'.

Perdana menteri juga mendengar taklimat mengenai penggunaan Twitter dalam penyampaian bantuan bencana selain untuk tujuan mengesan dan meramal, menurut kenyataan itu.

Najib juga berminat dalam penggunaan media sosial untuk berhubung dengan rakyat di Asia Tenggara apabila Malaysia menjadi pengerusi pertama Komuniti Asean pada 2015.

Perbincangan di ibu pejabat Twitter itu turut menyentuh potensi gergasi media sosial berkenaan dalam inisiatif Silicon Valley Connect, MSC Malaysia dan pembabitan syarikat Malaysia dalam 'Twitter's Certified Partner Programme'.

Najib yang pada masa ini mempunyai 'pengikut Tweet' terbanyak di Malaysia, menghantar mesej kepada 1.7 juta pengikutnya pada penghujung lawatan beliau di ibu pejabat Twitter itu. BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan