Masalah Penyeludupan Punca Subsidi Minyak Dikurangkan

Diterbitkan: Selasa, 24 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Masalah penyeludupan minyak ke negara jiran adalah antara punca pengurangan subsidi minyak diesel dan RON95 oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, hampir 10 peratus daripada RM24.8 ribu juta subsidi bahan api diseludup menyebabkan subsidi untuk golongan sasar tersasar.

"RM2,000 juta sebulan wang rakyat telah hangus, dan satu lagi mengikut kajian IMF 80 peratus subsidi ini dinikmati oleh mereka yang berpendapatan tinggi, kita bagi subsidi kepada orang kaya," katanya ketika menjawab soalan tambahan, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datu Bung Mokhtar Radin di Dewan Rakyat pada Isnin.

Bung bertanya apakah sebenarnya punca-punca penyeludupan minyak diesel dan petrol berlaku serta mengapa tidak ada kawalan menyeluruh dalam menangani kegiatan itu.

Ahmad Maslan berkata, aktiviti pemantauan dalam membendung kegiatan penyeludupan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalan Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

"Penyeludupan, itu kerja KPDNKK, namun Kementerian Kewangan akan menyelaraskan supaya perkara itu diselaras bersama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan PDRM, kita juga mungkin bekerjasama dengan agensi lain untuk memastikan perkara ini dapat diatasi," katanya.

Ahmad Maslan berkata kaedah pemberian subsidi di Malaysia perlu distruktur semula agar pemberian subsidi kebih fokus dan menepati golongan sasar.

"Struktur subsidi sekarang adalah banyak dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi yang berkemampuan serta warga asing, mereka menggunakan kenderaan berkuasa tinggi berbanding dengan golongan sasar yang hanya menggunakan kereta berkuasa kecil dan bermotosikal," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan