Duta, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Dilantik Mengikut Perlembagaan

Diterbitkan: Selasa, 24 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelantikan Duta dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berkata berdasarkan Fasal 114 Perlembagaan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) boleh melantik sesiapa sahaja yang layak menjadi Duta dan Pesuruhjaya Tinggi.

Katanya, sehingga kini, sebanyak empat Ketua Perwakilan Malaysia secara lantikan politik dibuat iaitu Duta Besar Malaysia ke Perancis Tan Sri Ismail Omar dan Duta Besar Malaysia ke Finland Datin Seri Blanche Olbery.

Selain itu Datuk Yong Teck Shing sebagai Presiden Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taiwan dan Datuk Awang Sahak Awang Salleh sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang ingin tahu jumlah Duta dan Pesuruhjaya Tinggi serta Duta Khas Malaysia dari kalangan lantikan politik dan kaedah lantikannya.

Beliau berkata sementara Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Prof Madya Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al-Sahhaff pula telah menamatkan tempoh kontraknya pada 19 September.

Hamzah berkata Malaysia mempunyai sebanyak 107 perwakilan, iaitu Duta dan Pesuruhjaya Tinggi, di seluruh dunia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan