Wanita Umno Bukan 'Paper Tiger' - Shahrizat

Diterbitkan: Isnin, 23 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang akan mempertahan kerusi Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti bulan depan, hari ini menepis cubaan pihak yang cuba memperlekeh keupayaan dan prestasi sayap itu.

Beliau berkata prestasi Wanita Umno memang tidak boleh dinafikan, malah ia juga menjadi tunjang kekuatan dan kemenangan Umno serta Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu.

Wanita Umno hari ini lebih bersatu dan mantap, justeru menjadikan pergerakan itu idaman ramai, katanya.

"Kita bukan paper tiger. Gitu-Gitu bagi syarahan, bagi retorik. Kita memang turun padang. Saya nak cabar siapa boleh pertikaikan itu. Kami ini pergerakan di peringkat akar umbi," katanya kepada wartawan di pejabatnya di Menara Dato Onn di sini.

Shahrizat diminta mengulas kenyataan pencabarnya, Datuk Maznah Mazlan bahawa keputusan beliau bertanding jawatan Ketua Wanita adalah kerana mahu memperkuatkan sayap itu supaya dihormati dan tidak diperlekeh oleh sesiapa.

"Nak memperlekehkan apa. Orang yang mempertikaikan itu pun tak pernah turun program Wanita," katanya.

Shahrizat berkata beliau mengambil alih sayap itu daripada Tan Sri Rafidah Aziz pada tahun 2009 ketika suasana politik negara tegang.

"Saya bukan ketua di zaman senang-lenang. Saya ambil alih di zaman kita hadapi tsunami politik," katanya.

Setelah empat tahun memimpin sayap itu, beliau berkata Wanita kini lebih bersatu padu dan berada di satu tahap yang membanggakan, katanya.

"Wanita Umno telah jadi satu pergerakan yang amat menarik, sebab itu ramai orang nak masuk. Mereka lihat, wah... Wanita hidup semula, penjenamaan, jentera, semua dah OK. Sebab tu ramai berminat," katanya.

Shahrizat berkata sekiranya diberi kepercayaan untuk terus memimpin, beliau akan membawa Wanita Umno ke satu lagi tahap kecemerlangan.

Selain Maznah, beliau dicabar anggota Umno Kulim Bandar Baharu Raihan Sulaiman Palestin.

Shahrizat berkata walaupun menjadi Exco Wanita kebangsaan, Maznah tidak pernah hadir untuk sebarang mesyuarat sejak awal 2013, selain tidak melibatkan diri dalam aktiviti sayap.

Begitu juga dengan kes Raihan yang tidak aktif dalam sayap itu sehingga keanggotaannya menjadi tanda tanya, kata beliau.

Mengulas dakwaan Raihan terhadap cubaan beberapa pihak yang memujuknya menarik diri, Shahrizat berkata beliau tidak berminat dalam hal seperti itu. "Kita orang politik, menang kalah mesti dalam gelanggang. Saya sebagai Ketua Wanita, saya bertanding dalam gelanggang, tak jadi masalah siapa mahu bertanding," katanya.

Shahrizat berkata beliau juga langsung tidak terkejut dengan tindakan Maznah dan Raihan kerana sudah menjangka mereka akan tampil mencabarnya.

Beliau turut ditanya berhubung penyertaan Maznah dan Raihan yang dilihat banyak pihak sebagai protes sesetengah kumpulan terhadap kepimpinannya.

"Kalau kita nak bertanding, baik kerana kita nak bawa visi, perjuangan, jangan kita masuk (bertanding) sebab dendam atau suka-suka atau kita proksi," katanya.

Katanya, dalam pertandingan, beliau berpegang kepada prinsip tidak memburukkan lawan sejak menjadi Anggota Parlimen pada 1995.

Shahrizat juga yakin dengan peluangnya dan menyerahkan kepada perwakilan untuk menilai sendiri rekod prestasi beliau sepanjang berkhidmat di sayap itu. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan