Aziz Kaprawi Menang Ketua Bahagian Seri Gading Tanpa Bertanding

Diterbitkan: Ahad, 22 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ab Aziz Kaprawi
Ab Aziz Kaprawi

BATU PAHAT: Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang juga calon ahli Majlis Tertinggi Umno menang tanpa bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Seri Gading, Johor mengantikan Datuk Mohamad Aziz yang memberi laluan.

Mohamad Aziz yang juga bekas Ahli Parlimen Seri Gading kini merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor.

Ketika tempoh penyerahan borang pendaftaran untuk semua jawatan bahagian ditutup pada Sabtu, tiada calon lain yang mengemukakan permohonan bertanding jawatan ketua bahagian.

Ab Aziz sebelum ini adalah timbalan ketua Umno bahagian.

Sementara itu, Mohamad Aziz ketika memberikan reaksi di atas kemenangan Ab Aziz tanpa bertanding menyifatkan ia sebagai kemenangan untuknya juga.

"Ini kerana, hasrat saya ialah untuk memberi laluan kepada Ab Aziz sebagai ketua bahagian dan meninggalkan jawatan itu tanpa sebarang masalah atau kepincangan telah berjaya diselesaikan dengan musyawarah apabila semua ahli bersetuju dengan tidak menentang Ab Aziz.

"Saya membuat keputusan untuk melepaskan jawatan ketua bahagian yang disandang sejak 20 tahun lalu selepas menemui calon yang sesuai iaitu Ab Aziz yang merupakan pemimpin yang berpengalaman luas dan pernah menjadi exco kerajaan negeri," katanya.

Menurut Mohamad Aziz, pemimpin muda seperti Ab Aziz perlu diberi sokongan dalam usaha meremajakan Umno kerana beliau mampu membawa perubahan seandainya diberi lebih banyak peluang di peringkat nasional.

Sementara itu, Ab Aziz merakamkan terima kasihnya kepada Mohamad Aziz yang memberikan kepercayaan dan membuka laluan kepadanya untuk menerajui bahagian serta memberi restu kepadanya untuk bertanding kerusi Majlis Tertinggi Umno.

"Saya menerima amanah ini dengan penuh rasa rendah diri dan insaf bahawa ini adalah satu tanggungjawab yang besar bukan sahaja di peringkat bahagian malah juga di peringkat kebangsaan sekiranya saya diberi kepercayaan untuk turut bersama berada dalam saf kepimpinan majlis tertinggi nanti," ujar Ab Aziz yang merupakan calon yang ke-14 mendaftarkan diri untuk bertanding jawatan itu di Pwtc, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan