Ku Li Dicabar Ketua Pemuda Umno Gua Musang

Diterbitkan: Sabtu, 21 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Ketua Pemuda Umno Gua Musang Datuk Bazlan Baharuddin pada Sabtu menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Gua Musang yang disandang Tengku Razaleigh Hamzah pada pemilihan parti itu bulan depan.

Bazlan, 44, berkata langkah itu bertujuan menyuburkan proses demokrasi dalam parti dan bukannya "menderhaka" kepada ketuanya itu.

"Saya tidak derhaka kepada Ku Li (Tengku Razaleigh). Saya menawarkan diri untuk memberi pilihan kepada perwakilan memilih. Soal kalah menang saya serahkan kepada takdir.

"Saya adalah pelapis golongan muda yang yakin mampu berkhidmat dengan baik jika dipilih sebagai ketua Umno bahagian, ini bukan tindakan untuk main-main," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang pencalonannya di Pejabat Badan Perhubungan Umno negeri di sini, pada 12.30 tengah hari.

Tengku Razaleigh pula menyerahkan borang pencalonan bagi mempertahan jawatannya pada 11.45 pagi melalui wakilnya di pejabat Umno Bahagian Gua Musang.

Bazlan yang juga Bendahari Pemuda Umno Kelantan menafikan dirinya bermasalah dengan Tengku Razaleigh sehingga mendorongnya menentang ketuanya itu.

"Saya akur Ku Li telah lama menabur bakti menjadi ketua Umno bahagian sejak 1962 sehingga sekarang tetapi jawatan itu bukan milik seseorang sehingga sampai bila-bila," katanya.

Jika ditakdirkan menjadi ketua Umno bahagian itu, Bazlan mahu menarik sokongan pengundi muda dan meningkatkan taraf hidup generasi kedua di beberapa tanah rancangan.

Beliau mendakwa mendapat sokongan akar umbi di bahagian itu untuk bertanding jawatan itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan