Musa Hassan Tubuh Badan Pemantau Jenayah Yang Baharu

Diterbitkan: Khamis, 19 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Musa Hassan
Musa Hassan

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada Khamis mengumumkan penubuhan pemantau jenayah yang baharu dikenali sebagai Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC).

Musa berkata keputusan menubuhkan MCCC iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dibuat selepas beliau tidak lagi menjadi penaung Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) sejak dua bulan yang lalu.

Menurut Musa yang bertindak sebagai Presiden MCCC, pertubuhan itu tidak terlibat dengan mana- mana parti politik dan disertai golongan profesional seperti ahli perniagaan, peguam dan bekas polis serta tentera.

Jelas beliau, misi utama MCCC adalah untuk membantu pasukan keselamatan terutamanya Polis Diraja Malaysia ( PDRM ) membendung kegiatan jenayah dan menolak tuduhan liar yang menjejaskan kredibiliti serta integriti polis.

"Kita ada lapan matlamat utama menerusi penubuhan MCCC. ..apa yang membezakan pertubuhan ini dengan badan pemantau jenayah yang lain adalah kita memberi khidmat kaunseling.

" Banyak NGO lain hanya mengadakan seminar pencegahan jenayah sahaja tetapi tidak membantu mangsa terlibat dengan memberi kaunseling kepada mereka.

“MCCC juga akan membantu banduan yang telah dibebaskan untuk menjalani kehidupan baru dan memberi tumpuan kepada jenayah melibatkan wanita dan kanak-kanak," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Ketika ditanya mengenai hubungan yang terjalin di antara MCCC dengan polis nanti, beliau berkata pihaknya akan sentiasa menyokong usaha polis membendung kegiatan jenayah yang semakin berleluasa demi keselamatan orang ramai.

Namun, Musa berkata pihaknya tidak akan berkompromi jika terdapat pegawai atau anggota polis yang melakukan kesalahan dan akan mengambil tindakan susulan.

“Kita tentu sekali memuji polis apabila mereka melakukan sesuatu yang betul tetapi jika ada yang salah, MCCC tidak akan berdiam diri," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai penglibatannya dengan MyWatch, Musa menyindir pertubuhan itu dengan menyifatkan perjalanan badan pemantau itu sebagai ganjil.

“Saya penah meminta MyWatch mengadakan mesyuarat tetapi sejak ditubuhkan, tiada satu pun mesyuarat diadakan...perjalanan pertubuhan itu ganjil,” katanya.

Musa berkata, sebagai badan pemantau jenayah, MyWatch tidak sepatutnya membuat tuduhan liar sebaliknya menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan untuk tindakan susulan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan