Anak Abu Hassan Umum Hasrat Tanding Exco Pemuda Pusat

Diterbitkan: Khamis, 19 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas Bendahari Umno Bahagian Kuala Selangor, Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan pada Rabu menyuarakan hasrat bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda Umno pusat pada pemilihan parti Oktober ini.

Mohamed Hazali, 39, anak kepada bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar, berkata hasrat itu dilontarkan kerana mahu memastikan Pemuda terus kukuh bukan sahaja dari segi perpaduan anggotanya malah terus kekal relevan mewakili suara orang muda di negara ini.

"Umno, khususnya Pergerakan Pemuda, harus dilihat terus relevan, menarik dan dihormati. Saya fikir pergerakan ini memerlukan satu pasukan lebih agresif, mantap dan berani serta mempunyai idea serta pendekatan baharu untuk menarik generasi muda untuk bersama dengan parti," katanya.

Bercakap pada sidang media di sini, beliau menarik perhatian bahawa hampir 50 peratus daripada golongan muda di negara ini akan menjadi pengundi pada pilihan raya umum ke-14.

"Justeru, tumpuan serta usaha melibatkan idea-idea baharu perlu ada bagi mengembalikan sokongan dan kepercayaan golongan ini kepada parti," katanya.

Pengumuman Mohamed Hazali, yang memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan dari Universiti Hull, England, itu menjadikan beliau setakat ini calon tunggal dari Selangor yang menyatakan hasrat bertanding jawatan Exco Pemuda pusat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan