Proton Diberi 'Lampu Hijau' Ganti Kereta Rasmi Kerajaan

Diterbitkan: Rabu, 18 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan telah memilih Model Penggantian Perdana (PRM), mengubah rancangan awal untuk menggantikan Proton Perdana Eksekutif dengan Honda Accord.

Menurut sumber, Proton telah diberikan lampu hijau untuk meneruskan rancangan pembinaan model PRM, yang dijangka diumumkan pada Disember.

Difahamkan PRM akan dibina berdasarkan casis Honda Accord dan Proton akan melakukan beberapa perubahan dari segi kemasan dan spesifikasi, sama dengan perubahan sebelumnya yang dilakukan kepada Proton Inspira yang pada dasarnya adalah Mitsubishi Lancer.

Bagaimanapun, sumber-sumber berkata Proton mempunyai rancangan lain dengan Fasa 2 yang melibatkan perubahan yang berlainan terhadap penampilan dan enjin yang akan dilancarkan pada tahun 2015.

Honda Accord baharu berharga dari RM139,000 ke atas dan PRM yang baharu dijangka berharga lebih kurang sama.

Awal tahun ini, kerajaan dikatakan telah memilih Honda Accord memandangkan Proton tidak dapat menawarkan PRM mengikut masanya untuk menggantikan model Perdana yang sudah lama.

Kerajaan dikatakan telah membuat tempahan awal 350 unit Honda Accord.

Dua minggu lalu, pengurusan Proton iaitu Pengerusi Eksekutif Tan Sri Mohd Khamil Jamil dikatakan berjaya memujuk kerajaan untuk meneruskan rancangan PRM.

Pemerhati industri berkata Proton akan hilang kepercayaan dari segi jenamanya jika kerajaan memilih Honda sebagai kereta rasmi yang digunakan untuk pelbagai acara berprofil tinggi.

Menurut sumber itu, PRM mungkin tidak membawa untung besar kepada Proton tetapi ia boleh membina pengiktirafan jenama jika dilaksanakan dengan baik, kerana ia akan menjadi model paling atas dalam pembuat kereta nasional.

Proton Perdana telah dilancarkan pada tahun 1999.

Proton masih belum menjawab pertanyaan daripada 'The Star' sehingga kini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan