Rakyat Perlu Bersama Kerajaan Pertahan Kedaulatan Negara - Ahmad Shabery

Diterbitkan: Selasa, 17 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengajak warga Malaysia supaya berdiri teguh bersama kerajaan, dengan memberikan sepenuhnya kepercayaan dan sokongan terhadap semua usahanya, demi mempertahan kedaulatan negara.

Beliau berkata elemen kesetiaan kepada negara amat penting bagi sesebuah kerajaan mempertahan kedaulatan negara.

"Tanyalah kesetiaan, kita khuatir akan muncul segelintir pihak yang sanggup menjadi tali barut asing sehingga bersekongkol menggadai maruah tanah airnya sendiri," katanya dalam ucapan sempena Program Himpunan 30 Anak Malaysia, yang lahir pada 16 Sept 1963, di sini Selasa.

Teks ucapannya disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jalani Johari.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan Pengarah Penerangan Sabah Almain Ajirul.

Sambil memberi contoh insiden pencerobohan kedaulatan negara yang berlaku di Lahad Datu awal tahun ini, Ahmad Shabery berkata sejarah hitam itu meninggalkan kesan yang amat ketara terutama dalam aspek keselamatan

"Kehadiran mereka (penceroboh) bukan sahaja menimbulkan rasa tidak tenteram dalam kalangan penduduk tempatan, malah menimbulkan rasa takut apabila berlaku pertempuran senjata dengan pihak keselamatan negara, sehingga mengorbankan nyawa anggota kita," katanya.

Beliau percaya peristiwa hitam itu akan kekal dalam lipatan sejarah negara namun berharap kejadian seumpama itu tidak berulang.

"Oleh itu, dalam kita meraikan Hari Malaysia, adalah penting untuk kita sebagai rakyat Malaysia memahami sejarah tanah air secara lebih mendalam.

"Saya yakin dengan memahami sebaiknya sejarah pembentukan Malaysia, kecintaan kita kepada tanah air akan terus bersemarak di sanubari," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Jalani berkata program anak Malaysia anjuran Jabatan Penerangan itu mengingatkan rakyat negara tentang pentingnya memelihara keamanan yang dikecapi selama ini. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 27 Jun 2017 3:00 PM

Ardell Dah Jemu Berlakon?

Selasa, 27 Jun 2017 2:25 PM

Siti Nurhaliza Pun Naik ETS Tau!

Selasa, 27 Jun 2017 9:33 AM

Hazman dan Eryn Raya Bersama?

Isnin, 26 Jun 2017 5:00 PM

Wow... Gaya 5 Selebriti Di Pagi Raya

Isnin, 26 Jun 2017 3:00 PM

Dapat Impak Ramai Penyanyi Bernama 'Wani'

Isnin, 26 Jun 2017 12:09 PM

Kisah Raya 3 Teruna

Isnin, 26 Jun 2017 9:30 AM

Selongkar Raya Zara Zya

Kolumnis

iklan

Iklan