Fahaman Syiah: Majlis Agama Islam Negeri Diminta Ambil Langkah Tegas

Diterbitkan: Selasa, 17 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jamil Khir Baharom
Jamil Khir Baharom

BANGI: Majlis Agama Islam negeri diminta mengambil langkah tegas dalam usaha menghalang penyebaran fahaman Syiah di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan sama sekali tidak akan membenarkan fahaman dan ajaran ini terus menular di Malaysia.

"Di Malaysia kita memang tidak benarkan ajaran ini disebarkan.

"Kita minta semua pihak dan Majlis Agama Islam negeri mengambil langkah-langkah tegas bagi menangani persoalan-persoalan mengenai penyebaran dan sebagainya dengan peruntukan sedia ada," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) kali kedua, di sini, Selasa.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)Datuk Othman Mustapha.

Jamil Khir, dalam ucapannya terdahulu berkata Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI), khususnya yang lahir melalui ILIM perlu memberi perhatian terhadap perkara-perkara semasa yang menyentuh pentadbiran Islam termasuklah penyebaran Syiah, ajaran sesat, isu halal dan seumpamanya.

"Kita harapkan kefahaman semua pihak dan PHEI dapat bergerak bersama-sama ketika kita diserang isu-isu seperti Syiah, LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual), liberalisme dan sebagainya sehingga membentuk persepsi berbeza dalam masyarakat.

"Pelbagai persepsi, pandangan dan aliran berbeza perlu difahami oleh PHEI bahawa di Malaysia telah diputuskan bahawa kita mendokong pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Syafie," katanya.

Pertubuhan Syiah Malaysia diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpandukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966 baru-baru ini.

Bagaimanapun, kuasa untuk membuat pemantauan serta menyekat ajaran, penyebaran dan dakyah tertakluk di bawah Jakim dan Majlis Agama Islam negeri-negeri, tanpa ada campur tangan KDN.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan