Wujudkan Unit Kaunseling Di IPK - Lee Lam Thye

Diterbitkan: Isnin, 16 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye menyarankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan unit khas kaunseling di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan anggotanya.

Lee yang juga Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, ini kerana masalah mental itu perlu ditangani sebaik mungkin bagi mengelakkan anggota terbabit melakukan tindakan di luar batasan.

Memang telah wujud Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) di setiap kontinjen, namun peranan unit ini terlalu umum, tidak mengkhususkan kepada masalah mental semata-mata, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Isnin.

Beliau berkata, anggota PDRM berkenaan juga tidak perlu ke hospital atau berjumpa pakar luar untuk mendapatkan rawatan, jika unit khas kaunseling diwujudkan di IPK.

"Tambahan pula, rawatan psikiatrik di hospital hanyalah untuk kes yang serius. Unit kaunseling atau psikologi bertindak sebagai pencegahan atau kaedah awal bagi memberi nasihat, pandangan serta mampu mengenali tanda-tanda masalah mental yang dihadapi anggota," katanya.

Pada masa yang sama, Lee menegaskan anggota PDRM yang mempunyai masalah perlu bersikap terbuka dan bersedia mendapatkan perkhidmatan kaunseling bagi mencegah perkara lebih serius.

Katanya, langkah mewujudkan unit kaunseling itu sewajarnya dipertimbang oleh semua majikan di negara ini bagi meningkatkan prestasi dan produktiviti tenaga kerja masing-masing.

"Kesihatan pekerja, terutama mental dan fizikal haruslah dititikberatkan oleh majikan kerana ia berkait rapat dengan produktiviti mereka. Jika perkara ini diabaikan, tentunya ia akan menjejaskan prestasi kerja masing-masing, sekaligus melumpuhkan syarikat," katanya.

Saranan Lee itu susulan kejadian tragis seorang lans koperal menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum membunuh diri dengan menembak diri sendiri di Ledang, Johor pada Sabtu lalu.

Sementara itu, penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar berkata, tekanan yang dihadapi oleh anggota polis tidak harus dilihat sebagai isu remeh, sementelah mereka bertanggungjawab menjaga keselamatan awam.

"Kalau kita lihat hari ini, polis bukan sahaja menggalas tugas dan tanggungjawab hakiki mereka iaitu mencegah jenayah, tetapi juga perlu memikirkan soal 'expectation' masyarakat yang terlalu tinggi terhadap polis.

"Jadi dalam hal ini, tugas yang dilaksanakan bukan sekadar terima kes, siasat dan tangkap tetapi ia memerlukan kekuatan mental yang tinggi untuk menjalankan tugas tidak kira siang atau malam, tidak balik rumah, tekanan dari pihak atasan dan sebagainya bagi memastikan kes yang diterima berjaya dilaksanakan sehingga ke peringkat pendakwaan," katanya.

Mengambil contoh di Amerika Syarikat, beliau berkata ada anggota polis mereka yang bertindak untuk membunuh diri disebabkan tekanan yang ditanggung.

Beliau berkata, dalam usaha memastikan tahap kesihatan mental anggota polis berada pada tahap yang baik, PDRM harus menyediakan pakar psikiatri atau kaunseling yang khusus dalam mengendalikan masalah tekanan.

"Post Traumatic Stress Disorder boleh dipulihkan dalam tempoh enam minggu sekiranya dapat dikesan awal dan mendapat kaunseling atau rawatan yang betul. Masalah tekanan juga boleh dikendalikan jika anggota PDRM diberi kursus yang sewajarnya," katanya.

Akhbar berkata, pemeriksaan juga harus dibuat secara lebih terperinci terutama ketika pengambilan anggota kerana masalah mental adakalanya disebabkan keturunan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan