Jangan Pinggirkan Mana-Mana Kumpulan Etnik - MCA

Diterbitkan: Isnin, 16 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BATU PAHAT: Mana-mana inisiatif atau dasar dalam sebuah negara berbilang kaum harus berdasarkan keperluan rakyat dan bukan mengikut garis etnik, menurut MCA.

Sebarang bentuk jurang perkauman dalam pendidikan dan ekonomi, yang meluaskan lagi jurang bukanlah sesuatu yang sihat, kata presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhubung beberapa langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengukuhkan penyertaan bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara.

"Walaupun bumiputera tidak mencapai 30 peratus ekuiti daripada 'kek ekonomi', tidak boleh dinafikan bahawa mereka telah mencapai kejayaan yang luar biasa dalam sumber manusia atau sektor tenaga kerja.

"Sebelum Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, kebanyakan profesional dan pekerja mahir adalah bukan daripada bumiputera.

"Daripada kurang daripada 30 peratus kira-kira 30 tahun yang lalu, hari ini, mereka (bumiputera) membentuk lebih separuh daripada semua golongan profesional dan pekerja mahir di negara ini," katanya pada sidang akhbar di pejabat MCA di sini, Ahad.

Dr Chua berkata dari segi politik lebih sukar untuk Barisan Nasional (BN) mendapatkan sokongan daripada bukan bumiputera jika dasar-dasar kerajaan meminggirkan mana-mana kumpulan tertentu.

Beliau berkata perkara itu akan dieksploitasi oleh pihak pembangkang, khususnya DAP.

Dr Chua berkata, dalam mesyuarat dengan Najib baru-baru ini, Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa dasar-dasar BN akan lebih inklusif dan tidak ada usaha untuk meminggirkan atau menghukum bukan bumiputera.

"Bagaimanapun, Najib juga menekankan keperluan untuk menjaga bumiputera yang telah menyokong kuat kerajaan BN dalam pilihan raya umum lepas," katanya, sambil menambah Najib telah menegaskan beliau telah memulakan banyak perubahan dasar yang memberi manfaat kepada bukan bumiputera dan beliau sering dikritik oleh bumiputera.

Dasar-dasar ini termasuk yang berkaitan dengan pendidikan bahasa ibunda dan ekonomi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan