Tangani Persepsi Cabaran Utama Ketua Puteri Umno - Rosnah

Diterbitkan: Ahad, 15 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengakui antara cabaran utama beliau sepanjang sepenggang mengetuai Puteri Umno Malaysia ialah menangani persepsi negatif mengenai sayap itu.

Antara persepsi itu ialah anggota Puteri tidak matang selain gedik atau mengada-ngada, katanya.

"Saya tak kata kita semua sempurna kerana dalam serumpun pasti ada buah yang tidak elok. Apa yang pasti kita sentiasa sedia dan berani untuk berubah," katanya dalam temu bual dengan Bernama sempena pemilihan Umno 2013, di sini.

Rosnah, 41, berkata adat dalam politik pasti ada yang tidak suka dengan pihak yang dilihat mampu memberi cabaran kepada mereka.

Bagaimanapun kata ibu enam anak itu, beliau berpegang kepada prinsip setiap orang berhak mempunyai pandangan dan persepsi mengikut tafsiran mereka sendiri.

"Memimpin sebuah sayap yang dianggap bongsu bukan suatu yang mudah, namun itu adalah cabaran yang saya aku janjikan sebagai satu tanggungjawab sejak dari hari pertama dipilih," akui Rosnah.

Pada masa sama beliau menegaskan adalah tidak adil untuk meletakkan tanggungjawab menarik golongan muda menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) atas Puteri dan Pemuda semata-mata.

Ini adalah tanggungjawab semua, lebih-lebih lagi sekarang macam-macam persepsi dilukis pembangkang mengenai BN, sebab itu kita perlu bekerjasama dan menghasilkan formula yang lebih baik, katanya.

Beliau juga berkata, agak sukar untuk menambah bilangan anggota sayap itu kerana saban tahun banyak anggotanya berhijrah secara automatik kepada Wanita Umno selepas mencapai had umur 35 tahun.

Bagi tempoh 2011 hingga Julai lepas, lebih 40,000 anggota Puteri bergelar Wanita Umno secara automatik, katanya menambah setakat ini Puteri Umno mempunyai 367,234 anggota.

Rosnah yang dipilih sebagai Ketua Puteri Umno Malaysia bagi penggal 2008/2011 pada pemilihan Mac 2009 perlu melepaskan jawatan itu pada pemilihan bulan depan kerana sudah mencapai had umur 40 tahun yang ditetapkan untuk jawatan berkenaan.

Bagi anggota biasa pula mereka secara automatik terkeluar daripada Puteri apabila mencapai umur 35 tahun.

Pada pemilihan kali ini, Rosnah yang juga Anggota Parlimen Papar akan menandingi jawatan exco Wanita.

Beliau juga berhasrat menandingi kerusi Majlis Tertinggi namun perkara itu hanya akan dimuktamadkan pada mesyuarat Umno Sabah 17 September ini.

Ditanya mengenai peluang dirinya, Rosnah yang dikenali sebagai seorang yang lemah lembut berkata: "Saya serahkan sepenuhnya kepada perwakilan Wanita untuk menilai diri saya dan saya ingin bersama-sama mengukuhkan saf Wanita demi Umno". - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan