Mewujudkan Usahawan Bumiputera Satu Kemestian - Saifuddin

Diterbitkan: Ahad, 15 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dalam memperkasakan penyertaan Bumiputera ke dalam sektor perniagaan, mewujudkan satu "komuniti usahawan Bumiputera" adalah satu kemestian dengan fokus khusus diperluaskan kepada syarikat-syarikat baharu.

Datuk Saifuddin Abdullah, ketua pegawai eksekutif Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang baharu dilantik berkata, komuniti itu mesti diterajui oleh usahawan, bukan hanya mana-mana pegawai biasa, bagi memastikan kecekapannya.

"Malangnya, kita tidak boleh bergantung kepada pertubuhan perdagangan atau perniagaan semasa. Kita perlu memperkasakan usahawan muda ataupun baharu untuk berkumpul bersama-sama dan membentuk "komuniti" baharu di kalangan mereka," kata beliau kepada Bernama.

GMM ialah pusat penyebaran maklumat berdasarkan konsep penyederhanaan dalam memerangi fahaman pelampau dalam lima bidang meluas.

Bidang-bidang itu ialah kewujudan bersama keamanan, demokrasi dan peraturan undang-undang, kewangan, pendidikan dan penyelesaian konflik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan lima teras untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera di dalam ekonomi negara.

Antara teras itu ialah Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang akan ditubuhkan tidak lama lagi, dipengerusikan oleh Najib.

MEB, yang akan menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera akan melaksanakan lima strategi utama sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Institut bagi Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan berkata kerajaan seharusnya memberi tumpuan mewujudkan satu persekitaran dasar yang menghasilkan dan meningkatkan kekayaan untuk setiap orang.

IDEAS ialah kumpulan pemikir bertanggungjawab mempromosikan penyelesaian berasaskan pasaran kepada cabaran dasar awam.

Wan Saiful berkata penekanan untuk mempunyai lebih ramai Bumiputera menjadi pengurus ialah langkah yang baik tetapi "ia masih lagi mengenai mewujudkan lebih ramai pekerja Bumiputera."

"Apa yang sepatutnya kita fokuskan ialah mewujudkan usahawan Bumiputera yang tidak perlu bergantung kepada perlindungan kerajaan. "Inilah keusahawanan yang sebenar dan inilah yang seharusnya menjadi fokus kita," kata beliau.

Beliau menekankan kepentingan untuk kerajaan agar sentiasa mencari jalan membuka saluran perdagangan dengan negara-negara lain supaya usahawan Bumiputera boleh meninjau pasaran baharu.

"Kita mempunyai mereka dengan idea yang bijak. Dengan persekitaran dasar yang betul, saya yakin usahawan Bumiputera boleh bersaing dan berjaya di seluruh dunia," kata beliau.

Wan Saiful juga berkata kerajaan berada di landasan betul dengan meneruskan perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA). "Kerajaan perlu konsisten dan lantang agar mereka boleh mengatasi sebarang halangan daripada pihak-pihak berkepentingan yang takut kepada persaingan terbuka," kata beliau.

Saifuddin berkata intra-kesamaan di kalangan Bumiputera seharusnya dielakkan daripada berlaku dan meminta kerajaan memudahkan pertumbuhan dalam sektor-sektor yang menjejaskan minoriti Bumiputera.

"Pertanian ialah sektor yang perlu diberi penekanan. Kita perlu terus memodenkan sektor pertanian dan, paling penting, menggalakkan orang muda menyertai sektor ini," kata beliau.

Dalam usaha mengukuhkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan Amanah Saham Bumiputera 2 akan dilancarkan oleh Permodalan Nasional Bhd, dengan suntikan 10 bilion unit saham.

Beliau juga berkata Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), akan diberi tanggungjawab mengambil alih peranan sebagai peneraju program "Skim Jejak Jaya Bumiputera".

Program itu akan ditransformasikan menerusi ekuiti dan kepakaran pengurusan untuk membimbing syarikat Bumiputera bagi penyenaraian di Bursa Malaysia.

Kadar ekuiti syarikat korporat Bumiputera turut meningkat kepada 23.5 peratus pada 2011 daripada hanya 2.4 peratus dalam tahun 1970an.

Kerajaan menyasarkan 30 peratus pemilikan ekuiti oleh Bumiputera menjelang 2020 seiring dengan objektif mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara maju. "Sasaran itu agak bercita-cita besar sekiranya dilihat kepada status pegangan ekuiti Bumiputera hari ini dan tempoh singkat untuk merealisasikan objektif itu," kata beliau. "Ia boleh berjaya sekiranya dasar diguna pakai oleh semua pemegang kepentingan dan dilaksanakan oleh sekumpulan mereka yang betul-betul serius komited dan profesional, bukan oleh mana-mana pegawai ataupun mereka yang telah bersara," kata Saifuddin. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan