PM Umum Lima Strategi Perkasakan Ekonomi Bumiputera

Diterbitkan: Sabtu, 14 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melaungkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melaungkan "Hidup Melayu" ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam pada Sabtu. -fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengangkat Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional dengan menempatkannya di tahap yang lebih tinggi.

Beliau mengumumkan lima strategi utama bagi memperkasa Ekonomi Bumiputera, meliputi modal insan, pemilikan ekuiti, pemilikan aset bukan kewangan, keusahawanan dan penyampaian perkhidmatan.

"Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya, sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera, adalah tidak adil dan tidak saksama," katanya ketika berucap pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Dewan Tuanku Canselor UiTM pada Sabtu.

Ia dibuktikan oleh Banci Penduduk dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang Melayu dan Bumiputera Islam berjumlah 59.7 peratus, manakala Bumiputera Bukan Islam pula 7.6 peratus daripada jumlah rakyat keseluruhannya, katanya.

Unjuran terkini setakat 2012 juga menganggarkan warganegara Malaysia seramai 27.4 juta orang, dengan Bumiputera seramai 18.6 juta atau 67.9 peratus, katanya. Pada 1970, Bumiputera berjumlah 6.1 juta atau 56 peratus daripada penduduk, dengan Melayu terdiri daripada sembilan suku kaum utama, Orang Asli pula terbahagi kepada 18 kategori, Bumiputera Sabah sebanyak 40 suku, manakala di Sarawak terdapat sejumlah 60 etnik.

Oleh itu, beliau berkata perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak bahawa "kita sentiasa menginsafi dan beringat-ingat tentang Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional."

"Ini kerana, jika sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak dibela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada tahun 2020," kata Perdana Menteri.

Mengimbas sejarah, Najib berkata telah dibuktikan dalam pembangunan ekonomi negara, terutama sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara.

"Jelasnya, ini kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baharu dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan," katanya.

Katanya Tawarikh (sejarah) dunia juga telah menunjukkan bagaimana jika sesebuah Kerajaan itu gagal memainkan peranan proaktif sebagai pengimbang sosioekonomi secara adil dan saksama, antara mereka yang memiliki dan tidak memiliki, antara pemodal dan pekerja, antara tuan punya tanah dan penyewa, antara pekerja kolar putih dan kolar biru, telah dan sedang membawa malapetaka.

DEB diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein bagi menangani isu ketidakseimbangan sosioekonomi antara etnik dan pembasmian kemiskinan berikutan tragedi 13 Mei, 1969.

Ekonomi Bumiputera diperkukuh melalui DEB yang telah dilaksanakan dari 1971 hingga 1990, di samping 10 Rancangan Malaysia, tiga Rancangan Jangka Panjang, yang dilaksanakan sepanjang tempoh 1965 hingga 2010.

Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000 diikuti Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010.

Najib juga turut melancarkan Dasar Transformasi Nasional, semasa membentangkan Belanjawan 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk mencapai Wawasan 2020.

Sejak Merdeka, Najib berkata Kerajaan telah mewujudkan pelbagai instrumen dan institusi untuk kelangsungan hidup Melayu dan Bumiputera, termasuk Bank Bumiputera, Lembaga Urusan Tabung Haji, MARA, FELDA, RISDA, FELCRA, UDA, PERNAS, DARA, JENGKA, KETENGAH dan KESEDAR.

Mengenang usaha pemimpin terdahulu, Najib berkata Perdana Menteri Ketiga Tun Hussein Onn telah menubuhkan Permodalan Nasional Bhd dan melancarkan Skim Amanah Saham Nasional.

"Kepentingan Bumiputera telah diperkukuhkan lagi oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Dasar Penswastaan dan Wawasan 2020, yang menjadi landasan perjalanan negara kini. "Perdana Menteri Kelima pula, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mewujudkan Koridor-Koridor untuk merancakkan pembangunan ekonomi wilayah," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan, melancarkan Model Baru Ekonomi (MEB), yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi, dengan pertumbuhan yang saksama, dan menyaksikan masyarakat Melayu dan Bumiputera setanding dengan masyarakat lain apabila fajar negara maju menyingsing kira-kira tujuh tahun lagi.

MEB memperkenal pendekatan pembangunan secara inklusif berasaskan prinsip pertumbuhan dengan kesaksamaan, bagi memastikan semua masyarakat di Malaysia memperoleh manfaat daripada pembangunan ekonomi dan kekayaan negara, kata Presiden Umno itu.

Melihat ke hadapan, Najib berkata Rancangan Malaysia Ke-10 bermula 2011 hingga 2015, bertujuan menyediakan peluang yang adil kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik mahupun latar kedudukan geografi, untuk terlibat sama dalam semua aktiviti ekonomi.

"Ini adalah berasaskan kepada prinsip mesra pasaran, berasaskan keperluan, telus dan meritokrasi. Akan tetapi meritokrasi yang kita maksudkan di sini adalah persaingan dalam kalangan Bumiputera," katanya.

Kerajaan juga telah memperkenal Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi bagi membentuk ekosistem pembangunan ekonomi negara yang teguh dan berdaya tahan.

Hasil pelaksanaan program transformasi, pertumbuhan ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan yang kukuh dalam situasi ekonomi global tidak menentu.

Dari tahun 2011 hingga 2012, kadar pertumbuhan ekonomi negara berkembang masing-masing sebanyak 5.1 dan 5.6 peratus. "Pertumbuhan secara berterusan begini amat penting disebabkan pertumbuhan ini akan membolehkan agihan kekayaan negara dapat disalurkan kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Najib berkata melalui perancangan ekonomi yang rapi dan bijaksana, taraf hidup Bumiputera juga telah meningkat.

Ia dibuktikan dengan pendapatan purata bulanan isi rumah Bumiputera naik daripada RM172 pada tahun 1970-an kepada RM4,457 pada 2012 atau hampir 2,500 peratus dalam jangka masa 42 tahun, kata Najib. Kadar kemiskinan Bumiputera pula telah berkurangan daripada 64.8 peratus pada tahun 1970-an kepada 2.2 peratus pada 2012, katanya.

Menurut Najib pemilikan ekuiti syarikat korporat Bumiputera juga telah meningkat daripada hanya 2.4 peratus pada tahun 1970-an kepada 23.5 peratus pada 2011.

Perdana Menteri juga berkata kecuali dalam beberapa sektor guna tenaga tertentu, bilangan tenaga kerja Bumiputera dalam kategori profesional, terutama golongan bertauliah seperti doktor perubatan, jurutera dan peguam, sudah menghampiri peratusan komposisi kaum.

Ini membuktikan, DEB, sebagai langkah awal berjaya menangani jurang antara kaum dalam usaha membangunkan sosioekonomi masyarakat Bumiputera. "Jelasnya, sepanjang lebih empat dekad, masyarakat Bumiputera telah melalui Fasa Pertama Transformasi," katanya.

Namun begitu, Najib berkata Kerajaan sedia maklum bahawa masih wujudnya jurang ketidaksaksamaan pendapatan antara etnik, dengan tahun 2012, pendapatan purata bulanan kaum Cina lebih tinggi berbanding Bumiputera pada nisbah 1 kepada 1.43 kali ganda.

"Dalam konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat pula, kita masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus. "Keberkesanan kawal kita ke atas syarikat korporat kini hanyalah pada sekitar 10 peratus," katanya.

Namun, kerajaan memahami bahawa penglibatan masyarakat Bumiputera dalam aktiviti keusahawanan masih tidak signifikan dan majoritinya hanya berada pada tahap usahawan kecil dan mikro, kata Najib.

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan