Perlu Rujuk Kepada Presiden Tanding Jawatan Naib Presiden - Zahid

Diterbitkan: Sabtu, 14 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat setiap calon yang berminat untuk bertanding jawatan ketiga tertinggi parti perlu meminta pandangan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Zahid berkata perdana menteri mempunyai pandangan beliau yang tersendiri berhubung calon bagi jawatan itu kerana ia menyentuh hubungan kerjasama dengan mereka dalam menentukan hala tuju parti.

"Saya beri pandangan, jika mahu memasuki gelanggang ini, berbincang dahulu dengan presiden parti. Dapatkan pandangan atau nasihat daripada presiden parti. "Tentu presiden parti mempunyai pandangan tersendiri tentang hasrat seseorang yang mahu berada di tahap kepimpinan nombor tiga dalam parti dan pandangan presiden harus diambil kira sebelum satu-satu keputusan muktamad dibuat," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat berhubung kawalan sempadan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, Sabtu.

Taklimat itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berhubung cadangan untuk mewujudkan kawasan selamat di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 121 kilometer dari Tumpat ke Jeli bagi mengekang aktiviti jenayah di sempadan.

Ahmad Zahid mengulas khabar angin bahawa Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dikatakan akan bertanding jawatan itu pada pemilihan Umno yang akan berlangsung pada Oktober.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata Mukhriz seorang yang berkebolehan dalam aspek kepimpinan dan beliau seharusnya memikirkan kaedah yang terbaik untuk bersama penyandang daripada kalangan senior jika berjaya dipilih sebagai naib presiden.

"Beliau (Mukhriz) calon muda dan antara calon yang baik untuk kepimpinan pada masa depan," katanya.

Dua lagi calon yang mengesahkan hasrat merebut jawatan naib presiden adalah Pengerusi Risda Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Jawatan Naib Presiden Umno kini disandang Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Pertahanan). Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pemimpin di setiap bahagian agar 'mengukur baju di badan sendiri' berhubung pertandingan merebut jawatan di pelbagai peringkat, yang borang pencalonannya mula diedarkan hari ini.

"Tiap-tiap bahagian ada 500 borang yang diedarkan untuk pertandingan pelbagai peringkat. Apabila tawaran dilakukan, ia dibuat dengan tujuan untuk memperlihat keseriusan bagi menawarkan diri memegang jawatan, bukan berhajat untuk mengacau daun bagi sesuatu jawatan itu," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan