Kerajaan Digesa Kaji Kaedah Pengajaran, Pembelajaran Bahasa Inggeris di IPGM

Diterbitkan: Khamis, 12 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneliti semula kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di seluruh negara memandangkan tahap kemampuan guru yang dihasilkan untuk mengajar subjek berkenaan masih lemah.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata kaedah pengajaran pensyarah di IPGM perlu dipantau bagi memastikan subjek diajar mengikut silibus.

"Ini bagi memastikan IPGM mampu menghasilkan guru terlatih dan berkelayakan bagi subjek itu sebelum dihantar ke sekolah. "Kita tidak boleh hanya menyalahkan guru-guru pelatih sahaja, sebaliknya kerajaan perlu meneliti semula kaedah pengajaran Bahasa Inggeris yang disampaikan pensyarah di IPGM," katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata guru pelatih IPGM perlu mencapai tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang ditetapkan kementerian, sebelum dihantar mengajar ke sekolah. Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan dilapor berkata sekiranya selepas latihan selama empat tahun, mereka masih gagal mencapai standard yang dikehendaki serta tidak memenuhi syarat kelayakan minimum, mereka perlu menyambung latihan antara enam bulan hingga setahun lagi.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang diumum baru-baru ini turut menyatakan Bahasa Inggeris subjek wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mulai 2016.

Selain itu, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh sebelum ini memetik satu kajian yang menunjukkan kira-kira 70 peratus guru Bahasa Inggeris di negara ini diklasifikasikan sebagai 'tidak berupaya' atau 'tidak layak' untuk mengajar subjek berkenaan di sekolah.

Mohamad Ali seterusnya berkata bagi memastikan guru mencapai tahap penguasaan cemerlang, mereka bukan sahaja perlu menulis, membaca dan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris malah perlu 'berfikir' dalam bahasa itu.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia Dr Wan Marzuki Wan Jaafar menyifatkan langkah yang digariskan Muhyiddin itu tepat, selaras dengan tindakan menjadikan Bahasa Inggeris subjek wajib lulus SPM pada 2016.

Bagaimanapun, beliau menegaskan guru pelatih Bahasa Inggeris tidak harus gagal mencapai standard kelayakan minimum kerana kebiasaannya mereka yang terpilih untuk ke IPGM merupakan pelajar cemerlang dari segi akademik.

"Jika masih ada lagi yang gagal, bermakna sistem pembelajaran di IPGM itu perlu dikaji semula untuk melihat di mana kekurangan yang perlu diperbaiki sama ada silibus, pensyarah, bahan-bahan dan sebagainya," katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan pula berkata guru pelatih yang mempunyai opsyen selain Bahasa Inggeris wajar lulus subjek tersebut sekiranya mereka dikenakan ujian Bahasa Inggeris di peringkat IPGM.

"Meskipun guru pelatih itu mengambil opsyen seperti Bahasa Melayu, Geografi, Sejarah dan sebagainya, mereka perlu lulus (Bahasa Inggeris) sebagai persediaan sekiranya diminta mengajar di pedalaman atau luar bandar yang kekurangan guru Bahasa Inggeris," katanya.

Beliau juga berharap satu kaedah lebih fleksibel, bijak dan menguntungkan semua pihak diambil kira dan bukan sekadar 'mengurung' bakal guru selama enam bulan atau setahun. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan