DBKL Wujudkan SOP Atasi Kesesakan di Ibu Negara

Diterbitkan: Khamis, 12 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)sedang menggubal prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani masalah kesesakan trafik di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata SOP itu digubal dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan termasuk polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

SOP ini merangkumi empat aspek iaitu pengurusan kemalangan, perkongsian logistik dan sumber, penyebaran maklumat serta pengurusan trafik, katanya ketika berucapkan merasmikan bengkel Strategi Lautan Biru dalam menangani isu lalu lintas, di sini, Khamis.

"Di bawah SOP pengurusan kemalangan, jika berlaku kemalangan, kesesakan di kawasan itu akan diselesaikan dengan cepat dan berkesan. "Dari segi perkongsian logistik dan sumber pula, satu kaedah terbaik akan dilaksana supaya agensi terlibat dapat berganding bahu, seperti DBKL akan memasang 1,200 buah kamera litar tertutup (CCTV) dan 300 daripadanya akan diberi kepada polis," katanya. Selain itu, di bawah SOP penyebaran maklumat, DBKL akan bekerjasama dengan stesen radio bagi melaporkan keadaan lalu lintas, manakala SOP pengurusan trafik bertujuan mempertingkat kecekapan pengurusan agar setaraf dengan negara maju.

Ahmad Phesal berkata SOP itu merupakan satu keperluan kerana setiap hari kira-kira tiga juta kenderaan memasuki ibu negara dan angka itu terus meningkat saban tahun.

Bengkel dua hari itu membabitkan agensi berkaitan termasuk bomba, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, pemegang konsesi lebuh raya dan wakil stesen radio, bertujuan mencambah idea bagi penggubalan SOP berkenaan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan