BNM Tidak Akan Semak Semula Keputusan Had 10 Tahun Pembayaran Semula Pinjaman - Zeti

Diterbitkan: Khamis, 12 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bank Negara tidak akan menyemak semula keputusannya mengehadkan tempoh pembayaran semula pinjaman selama 10 tahun, kata Gabenor Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Mengulas rayuan Cuepacs untuk meneliti kembali had pembayaran semula pinjaman peribadi itu, Zeti berkata: "Dalam dunia, 10 tahun untuk pembayaran semula pinjaman peribadi adalah yang tertinggi dan biasanya enam tahun di negara-negara lain.

"Ini ialah kerana apabila seseorang itu meminjam, sama ada untuk membayar set televisyen ataupun untuk berkahwin, wang itu habis dalam beberapa hari."

Zeti berkata bank pusat mahu mengelakkan senario peminjam terbeban dengan hutang selama 25 tahun, yang mana si peminjam telah berbelanja dalam beberapa hari sahaja.

"Pinjaman peribadi berbeza dengan pinjaman perumahan kerana apabila peminjam membeli rumah, mereka akan memiliki aset sebaik sahaja mereka telah melunaskan pinjaman itu. "Pinjaman peribadi pula, mereka membelanjakan wang dalam beberapa hari dan mereka perlu melalui kesengsaraan membayar hutang untuk tempoh 10, 15 hingga 20 tahun. Tidak, tiada semakan semula," tegas beliau.

Zeti berkata demikian kepada pemberita di luar acara penutupan majlis Forum Dasar Global (GPF) Perikatan bagi Rangkuman Kewangan (AFI) 2013 pada Khamis.

Forum tiga hari itu, yang dianjurkan bersama oleh AFI dan bank pusat, tamat hari ini dengan komitmen AFI Network untuk Perjanjian Sasana.

Melalui perjanjian itu, strategi dan penggubalan dasar rangkuman kewangan akan melihat bukti dan hasil berasaskan data keputusan yang boleh menyumbang kepada usaha mempercepatkan kemajuan dan ukuran terhadap kesan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan