85 Peratus Mesyuarat Umno Cawangan W.Perseketuan Selesai

Diterbitkan: Rabu, 11 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 85 peratus daripada 607 cawangan Umno di Wilayah Persekutuan selesai mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Syed Ali Alhabshee berkata baki 10 peratus pula dijangka dapat menyelesaikan mesyuarat mereka bila-bila masa.

"Secara keseluruhan semuanya baik. Kami sedia maklum mesyuarat cawangan mesti berakhir pada 15 Sept ini dan kami yakin proses tersebut akan terus berjalan lancar dan diselesaikan pada minggu ini," katanya kepapada Bernama pada Rabu.

Difahamkan ada beberapa cawangan tidak mempunyai anggota atau kepimpinan yang lengkap (tidak cukup korum) dan perlu mengadakan semula mesyuarat mereka sebelum layak memilih pucuk pimpinan Umno bagi penggal 2013/14.

Syed Ali berkata ada beberapa perkara kecil berbangkit ketika mesyuarat seperti bantahan, mengadu tidak mendapat jemputan, nama tiada dalam senarai dan sebagainya namun menyifatkan ini perkara biasa dan sering terjadi di mana-mana mesyuarat cawangan.

Syed Ali berkata bagi pemilihan di peringkat bahagian, semua calon yang ingin bertanding dikehendaki mendaftarkan permohonan di Dewan Tun Razak Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 8 pagi hingga 5 petang pada 21 September.

"Ini melibatkan keseluruhan bahagian Parlimen (dalam Wilayah Persekutuan) kecuali Labuan," katanya yang turut memberitahu Wilayah Persekutuan mempunyai 13 bahagian Umno.

Katanya pemantau mesyuarat cawangan dan bahagian Umno yang dilantik bagi memastikan perjalanan mesyuarat mengikut peraturan akan menghantar laporan mereka ke peringkat pusat selepas mesyuarat selesai diadakan.

Pada pemilihan Oktober ini, kira-kira 140,000 anggota Umno di peringkat akar umbi dari 191 bahagian akan memilih presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 25 anggota Majlis Tertinggi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan