PM Gesa Pupuk Sikap Lebih Menghargai Alam Sekitar

Diterbitkan: Selasa, 10 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan deligasi-deligasi Mesyuarat Ketiga Peringkat Menteri Forum Serantau Mengenai Alam Sekitar dan Kesihatan di Negara-negara Asia Tenggara dan Asia Timur sebelum merasmikan mesyuarat itu di Kuala Lumpur, Selasa. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan deligasi-deligasi Mesyuarat Ketiga Peringkat Menteri Forum Serantau Mengenai Alam Sekitar dan Kesihatan di Negara-negara Asia Tenggara dan Asia Timur sebelum merasmikan mesyuarat itu di Kuala Lumpur, Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa menggesa para pemimpin dunia supaya meletakkan nilai lebih tinggi dalam menghargai alam sekitar kerana masyarakat dan generasi akan datang bergantung kepadanya.

Perdana menteri berkata ini memerlukan suatu perubahan, bukan sahaja dalam budaya organisasi tetapi juga pemikiran.

"Pokok Cengal kita, seperti juga pokok Redwoods California, mungkin mengambil masa berkurun lamanya untuk menjadi sebesar saiznya, tetapi pokok itu boleh ditumbangkan dalam masa beberapa jam sahaja oleh kontraktor balak yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan gergaji.

"Sehingga kita memahami secara naluri bahawa dengan mengorbankan sumber sebegini untuk manfaat jangka pendek akan menjejaskan matlamat jangka panjang, kita tidak boleh mengharapkan untuk mencapai pembangunan lestari yang sebenar.

"Prinsip yang sama terpakai dalam dasar-dasar serantau dan global," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Ketiga Peringkat Menteri Forum Serantau Mengenai Alam Sekitar dan Kesihatan di Negara-negara Asia Tenggara dan Asia Timur, di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam; Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Pasifik Barat Dr Shin Young-soo dan Pengarah Serantau bagi Pejabat Rantau Asia dan Pasifik Program Alam Sekitar PBB Dr Young-Woo Park.

Najib berkata memandangkan negara-negara Asia Tenggara kekal menjadi lambang pertumbuhan yang luas dan dinamik, adalah menjadi kemestian bagi setiap negara untuk berhujah meminta pembangunan ekonomi yang lebih mampan dalam kawasan sempadan masing-masing.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan semua (negara Asia Tenggara) menikmati manfaat sumber yang dikongsi itu - air, tanah dan udara.

Beliau menyatakan bahawa enam langkah boleh diambil bagi memelihara kesihatan alam sekitar dalam perancangan pembangunan menganalisis hubungan antara kesihatan alam sekitar dan pembangunan, mengutamakan isu kesihatan alam sekitar dalam objektif pembangunan yang lebih besar; menilai mandat institusi, kapasiti, peraturan, belanjawan dan penguatkuasaan berhubung kesihatan alam sekitar.

Langkah lain ialah jaminan pembiayaan mencukupi dalam usaha campurtangan mengenai kesihatan alam sekitar berdasarkan penilaian di atas; proses pemantauan dan penunjuk hasil untuk pembaikan rangka dan pelaksanaan dasar yang berterusan; dan memastikan suara penglibatan pihak berkepentingan dan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NG) serta pemimpin dunia didengar dan mempengaruhi komuniti yang mudah terjejas.

Najib berkata Malaysia ialah sebuah daripada tujuh negara yang dikenal pasti dalam laporan Bank Pembangunan Asia 2050 sebagai bintang baharu yang muncul, dan pembangunannya tidak dapat tidak akan memberi tekanan kepada persekitaran sungai, tanah, udara dan lautnya.

Sejak 1992, Malaysia telah melaksanakan dasar kebangsaan mengenai alam sekitar, berusaha untuk memulihara warisan semula jadinya melalui penguatkuasaan, penyelidikan, pendidikan dan kesedaran awam.

Beliau berkata projek pembangunan ekonomi berimpak tinggi tertakluk kepada penilaian mandatori kesan alam sekitar dan kesihatan, dan negara telah memajukan Indeks Pencapaian Alam Sekitar Malaysia yang bertujuan membantu memahami data alam sekitar yang sentiasa berkembang.

"Indeks itu menyediakan struktur jelas dengan set penunjuk kuantitatif bagi pembuat dasar alam sekitar, dengan tanda aras yang disediakan rakan sekumpulan untuk mengenal pasti amalan terbaik.

"Memandangkan kaedah saintifik dan standard laporan menghasilkan data alam sekitar yang lebih terperinci, perbandingan sebegitu boleh membantu memastikan perangkaan dasar kita seiring dengan pembangunan negara," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan