Rehda Dibidas Umum Harga Rumah Naik 10 Peratus

Diterbitkan: Ahad, 8 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini membidas Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) yang mengumumkan kenaikan harga rumah tanpa berbincang dengan pihaknya.

Sambil menyifatkan kenyataan itu tidak bertanggungjawab, Abdul Rahman berkata alasan Rehda bahawa kenaikan harga rumah berkenaan disebabkan pengurangan subsidi petrol dan diesel sebagai tidak munasabah.

"Kita juga mempunyai formula kita sendiri dan kita rasa pengurangan subsidi minyak sebanyak 20 sen tak boleh diterjemahkan kepada kenaikan sehingga 10 peratus harga rumah.

"Saya juga tahu kos struktur dan sebagainya, kita jangka kalau naik pun maksimum lima peratus. Ini akan membimbangkan rakyat yang dalam keadaan berdepan dengan kos kehidupan tinggi di bandar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti bersama beliau, di sini, Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Rehda Datuk Seri Michael Yam Kong Choy pada Khamis yang dilapor berkata peningkatan harga minyak sebanyak 20 sen dijangka menyumbang kepada peningkatan harga rumah sehingga 10 peratus.

Mengenai makmal perumahan yang diadakan baru-baru ini, Abdul Rahman berkata pihaknya telah mengumpul fakta serta maklumat penting berkaitan isu itu.

"Kami sedang menyediakan laporan untuk diserah kepada Perdana Menteri dan kami ada pertemuan pada Khamis ini khusus bagi membincangkan bagaimana untuk mengurangkan harga rumah ataupun mengawalnya," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau memberitahu kementeriannya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk membina ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kedah di Suka Menanti dekat sini.

Beliau berkata pembinaannya akan bermula tahun depan dengan kos permulaan RM8 juta dan selebihnya akan disalur secara berperingkat.

"Dengan adanya balai baharu ini diharap dapat memberi khidmat terbaik untuk rakyat," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan