Hanya 432 Penderma Berdaftar Derma Organ

Diterbitkan: Ahad, 8 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Idris Mohamad, penderma hati kedua di Malaysia, menunjukkan kad penderma organ pada majlis Preview Kapsul Rakan Derma Organ dan Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Sumber Transplan Nasional di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur, Ahad. - FotoBERNAMA
Idris Mohamad, penderma hati kedua di Malaysia, menunjukkan kad penderma organ pada majlis Preview Kapsul Rakan Derma Organ dan Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Sumber Transplan Nasional di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur, Ahad. - FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Hanya 432 penderma organ daripada 235,573 penderma berdaftar menderma untuk transplantasi sejak 1976 hingga Ogos tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesedaran Pendermaan Organ Kebangsaan Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata jumlah itu adalah kecil iaitu 0.83 peratus jika dibandingkan dengan bilangan penduduk negara yang seramai 28.3 juta orang.

"Jumlah itu tidak mencukupi memandangkan bilangan pesakit menunggu adalah seramai 16,987 orang dengan 90 peratus adalah pesakit buah pinggang.

"Bilangan pesakit lain tidak ramai bilangannya kerana ramai antara pesakit jantung, paru-paru dan hati yang meninggal sebelum mendapat penderma yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Preview Kapsul Rakan Derma Organ di Pusat Sumber Transplan Nasional di sini pada Ahad yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Azmi Shapie dan Ketua Pengurus Klinikal Pusat Sumber Transplan Nasional Hospital Kuala Lumpur, Dr Lela Yasmin Mansor.

Ditanya faktor jumlah penderma yang rendah berbanding jumlah pengikrar penderma berdaftar yang tinggi, Lee menjelaskan ia adalah ekoran faktor tidak mendapat kebenaran daripada waris penderma.

"Cabaran kita adalah walaupun jumlah pengikrar penderma organ tinggi, namun selepas mereka mati atau meninggal dunia, ahli keluarga tidak dimaklumkan mengenai niat penderma itu.

"Maka mereka akan bantah dan tidak bersetuju. Oleh itu, maklumat pengikrar ini perlu dikongsi bersama ahli keluarga supaya mendapat keizinan mereka.

"Perangkaan jumlah penderma dapat ditingkatkan jika ahli keluarga sedar dan faham niat penderma tersebut," katanya.

Kepada syor supaya akujanji penderma dibuat dan disaksikan bersama ahli keluarga supaya meningkatkan perangkaan penderma dan membantu pesakit memerlukan, Dr Azmi berkata perkara itu dijangka akan dipanjangkan kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Subramaniam baru-baru ini berkata kerajaan mahu orang ramai memberikan pandangan berhubung Rang Undang-undang Akta Tisu Manusia 1974, sebelum ia dikemukakan ke Pejabat Peguam Negara.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk menggubal akta berkenaan yang hanya menyentuh aspek pendermaan organ dan tisu dari tubuh orang yang telah meninggal dunia bagi tujuan perubatan, pendidikan dan penyelidikan perubatan.

Dalam pada itu, bagi meningkatkan kesedaran untuk berdaftar menjadi pengikrar penderma organ dan maklumat lanjut mengenai menderma organ, kementerian akan melancarkan laman web www.dermaorgan.gov.my pada 18 September ini.

Ketika ini bagi menarik minat masyarakat tampil sebagai penderma organ dan juga menyokong program ini, kementerian menjalankan promosi dan kempen hebahan bersama-sama pelbagai agensi, badan bukan kerajaan, badan berkanun, selebriti dan ahli sukan. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan