Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Melahirkan Pelajar Bertaraf Dunia

Diterbitkan: Sabtu, 7 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), satu-satunya manifestasi transformasi kerajaan yang paling menyeluruh dan paling besar, dalam mendatangkan pulangan terbaik modal insan untuk memacu segala hasrat pembangunan negara.

Timbalan perdana menteri yang juga menteri pendidikan berkata pelan itu dihasilkan demi masa depan anak-anak Malaysia yang merupakan harta yang tidak ternilai bagi bumi tercinta ini kerana di tangan merekalah kemajuan negara akan dipertaruhkan.

"Sekiranya pelan ini begitu komited untuk menyediakan anak-anak dengan kemahiran dalam enam aspirasi murid, adalah lebih baik dan molek jika dapat disambut dengan baik, dengan penuh rasa tanggungjawab, agar perencanaan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya dan menghasilkan kejayaan yang dicita-citakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan PPPM bagi tempoh 2013 hingga 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan-timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Cheng dan P. Kamalanathan serta Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Muhyiddin berkata dasar pendidikan sedia ada yang berasaskan kepada Akta Pendidikan masih dipertahankan dalam PPPM.

Beliau berkata kementerian tidak berhasrat meminggirkan mana-mana aliran persekolahan yang wujud di negara ini, malah akan memastikan setiap murid di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan mendapat akses, ekuiti dan kualiti pendidikan.

"Kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan juga dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28) dan ingin saya nyatakan di sini bahawa kedudukan bahasa-bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah ini tidak pernah dinafikan sama sekali.

"Malah, peluang dan ruang dibuka untuk pendidikan bahasa tambahan selain Tamil, Cina atau Mandarin, bahasa Arab, Bidayuh, Dusun dan lain-lain kita tidak sekat dan halang.

"Lebih ramai anak-anak kita dapat menguasai bahasa lain lebih baik untuk mereka dan negara," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan juga akan terus memartabatkan bahasa Melayu dan memberi perhatian utama terhadap bahasa Inggeris yang akan dijadikan mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wajib lulus menjelang tahun 2016.

"Saya sedang teliti kerana kita mempunyai sejumlah sekolah yang sudah pun satu sesi dan 1,600 sekolah dua sesi akan dijadikan satu sesi maka tempoh persekolahan boleh dilanjutkan umpamanya tambah satu dua jam lagi.

"Itu boleh digunakan untuk tambah 'contact hour' untuk pendedahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau pun bahasa lain di seluruh negara," katanya.

Bagi memperkukuh kedua-dua bahasa itu, Muhyiddin berkata pelan itu menggariskan beberapa inisiatif antaranya menambah baik Kurikulum Bahasa Melayu di SJK.

Menurutnya bagi murid yang lemah, kelas pemulihan akan diadakan di luar waktu persekolahan dan ini tidak akan menjejaskan waktu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini.

Muhyiddin berkata seramai 9,000 guru bahasa Inggeris akan mengikuti latihan Cambridge Placement Test (CPT) Oktober ini dengan kerjasama British Council.

Bagi mengupayakan pelaksanaan pelan itu, beliau berkata Kementerian Pendidikan telah mewujudkan entiti khas yang dinamakan Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu) untuk memantau dan memastikan kejayaan inisiatif yang digariskan.

Muhyiddin berkata unit itu yang akan mengaplikasi prinsip-prinsip pengurusan bersifat korporat, dianggotai pegawai-pegarwai berbakat dari dalam dan luar kementerian kerana pelaksanaan pelan ini menuntut kesungguhan yang kental dan kemahiran pengurusan yang cekap, lagi berwibawa.

Beliau berkata melalui Padu, kementerian berhasrat menyediakan laporan tahunan dan status pencapaian inisiatif sebagai maklumat kepada semua pihak.

"Kerajaan akan terus mendapatkan pandangan rakyat dengan mengadakan dialog pada akhir setiap gelombang.

"Semua tindakan ini dilakukan bagi memastikan pelaksanaan adalah pada landasan yang betul dan penjajaran semula akan dilakukan sekiranya perlu," katanya.

Beliau berkata inisiatif yang dirancang dalam 11 anjakan pelan itu perlu melibatkan komitmen keseluruhan rakyat kerana daripada rakyatlah tercetusnya ilham merangka inisiatif berkenaan.

"Bagaimana mungkin kementerian melaksanakan secara sendirian tanpa melibatkan semua pihak yang berkepentingan untuk memastikan pelaksanaan PPPM ini benar-benar berjaya," katanya.

Beliau berkata gandingan pihak swasta secara lebih meluas dan meletakkan rasa kebertanggungjawaban pihak swasta terhadap kemajuan pendidikan negara kita juga merupakan satu strategi menentukan kejayaan PPPM.

"Kementerian telah melaksanakan Teach for Malaysia dan Sekolah Amanah dengan melibatkan pihak swasta.

"Sekolah Amanah akan ditambah kepada 500 buah menjelang tahun 2025 dengan melibatkan alumni dan NGO yang berpotensi," katanya.

Muhyiddin berkata pendidikan khas yang inklusif juga tidak dilupakan Kementerian Pendidikan dan dimasukkan sebagai satu intipati penting dalam PPPM.

"Dalam pelan awal, mungkin kita tak sebutkan dengan secara spesifik mengenai pendidikan khas ini, jadi mereka dari kepimpinan dan persatuan yang mewakili pendidikan khas orang kelainan upaya (OKU) ini tanya kenapa tak diberi perhatian mengenai mereka.

"Jadi kita adakan makmal khas, kita masukkan segala cadangan mereka sebagai satu initipati penting dalam PPPM, khusus untuk anak-anak kita yang OKU,"katanya.

Dokumen lengkap PPPM setebal 300 muka surat menyatakan dengan terperinci lma aspirasi sistem dan enam ciri murid yang akan dicapai dalam tempoh 13 tahun akan datang.

Ia memberi tumpuan kepada keberhasilan murid merangkumi semua peringkat persekolahan iaitu daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat lepasan menengah.

Laporan awal PPPM dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 September tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan