Kemiskinan Punca Terjebak Gangsterisme

Diterbitkan: Jumaat, 6 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Kebanyakan ahli kumpulan gengster kembali melakukan kegiatan jenayah kerana mereka sering diikat jamin dengan mudah.
Kebanyakan ahli kumpulan gengster kembali melakukan kegiatan jenayah kerana mereka sering diikat jamin dengan mudah.

PETALING JAYA: Di tengah-tengah belukar, satu upacara kecil diadakan. Kelihatan taiko (ketua) berdiri di samping beberapa orang kanannya.

Seramai 40 ahli baru, mendekatinya lalu melutut dan tunduk sebagai tanda penghormatan.

Salah seorang orang kanannya tampil ke hadapan, menyambar tangan mereka lalu menorehnya sebelum menadah darah itu ke dalam cawan.

Kemudian, dia mencampur brandi ke dalam cawan yang dipenuhi darah itu.

Kesemua ahli baru itu kemudiannya minum darah bercampur brandi itu.

Begitulah bagaimana Ramu (bukan nama sebenar) menjadi ahli kumpulan Geng 18. Dia hanya berusia 17 tahun.

Ramu berkata kemiskinan mendorongnya untuk menyertai kumpulan itu dan melihatnya sebagai satu cara untuk hidup mewah.

"Kumpulan itu diketuai oleh taiko berbangsa Cina. Anda tidak berkesempatan melihatnya dan beberapa orang kanan kumpulan sehingga hari Satu Hati.

"Hari ini, mereka berkata Satu Hati adalah sebuah kumpulan. Saya tidak tahu. Mengimbas kembali zaman saya, Satu Hati adalah upacara pengenalan. Selepas minum minuman campuran darah dan brandi, kami menjadi saudara.

"Saya ditugaskan untuk mengedar dadah. Seorang lelaki akan membawa satu bungkus heroin dari Pulau Pinang. Ia kelihatan seperti batu-bata. Di dalam kereta api, dia akan meninggalkan bungkusan itu di tempat duduknya. Saya kemudiannya akan mengambil bungkusan itu dan membawanya ke Johor - dengan kereta, bas dan juga motosikal - melalui semua pekan kecil.

"Di dalam bas, saya akan meninggalkan beg berisi dadah di ruang bagasi manakala pakaian saya dibawa dalam beg galas. Dengan cara itu, jika polis menjumpai dadah tersebut, saya akan menafikan segalanya dan hanya berkata saya hanya membawa beg galas. Nasib baik, saya tidak pernah tertangkap.

"Ketika itu lebih 10 tahun lalu. Saya dibayar RM15,000 untuk setiap perjalanan.

"Kami juga perlu mengadakan rundingan. Kami akan berbincang dengan beberapa ketua kumpulan lain jika sesiapa langgar kawasan. Jika gagal mencari jalan penyelesaian, kami akan menyuruh dua individu terlibat menyelesaikan. Ahli-ahli dua kumpulan itu tidak boleh campur tangan.

"Itu adalah gangsterisme 'gentleman'. Hari ini, golongan muda datang dari arah belakang dan melepaskan tembakan ke arah anda, atau mereka bergerak dalam kumpulan dan menetak beberapa rakan lain," katanya.

Ramu berkata dia berhenti melakukan perkara itu selepas dua insiden.

Pertama, bapanya meninggal dunia dan dia menjadi ketua keluarga.

"Saya perlu menjaga keluarga, jadi saya tidak boleh mengambil risiko ditangkap. Namun saya masih terlibat dalam pergaduhan melibatkan kumpulan. Pada suatu hari, kami ada pergaduhan tetapi saya tidak dapat menyertainya kerana ada urusan keluarga.

"Rakan-rakan saya yang menyertai pergaduhan itu antara yang ditangkap dan dipenjara di bawah Ordinan Darurat (EO). Saya bersumpah untuk meninggalkan kegiatan itu dengan sendirinya.

"Taiko kumpulan itu masih ingat pada saya. Dia kadangkala melawat saya dan kami pergi minum bersama. Dia tidak pernah meminta saya untuk kembali dan saya tidak akan berbuat begitu."

Ramu mungkin tersilap mengenai satu perkara. Terdapat satu kumpulan dikenali sebagai Satu Hati.

Vasu menyertai kumpulan itu. Dia memberitahu bagaimana, sebagai seorang yang masih muda, dia begitu lemah dalam pelajarannya.

"Saya sering ponteng sekolah dan keluar bersama dengan rakan-rakan. Kami sering terlibat dengan pergaduhan kecil dan kemudian merompak. Akibatnya, saya dibuang sekolah selepas itu.

"Dengan tiada apa yang dapat dilakukan, saya datang ke KL. Tiada kerja kosong, jadi saya terjebak dengan kumpulan jahat. Kemudian, seseorang mendekati saya dan meminta untuk menyertai Geng Satu Hati.

"Upacara pengenalan dimulakan dengan angkat sumpah. Kami dibawa ke kuil terpencil dan diminta mengangkat sumpah untuk tidak mengkhianati kumpulan itu. Kami juga perlu menoreh jari dan minum darah tersebut pada upacara itu.

"Beberapa orang kanan memberitahu saya mereka diminta untuk menoreh tangan dan mengangkat tangan bersama sebagai tanda 'darah saudara'.

"Namun saya fikir gengster juga takut dengan HIV atau AIDS," selorohnya.

Setiap ahli perlu membayar yuran menyertai kumpulan itu. Dalam kes Vasu, dia perlu membayar RM101 sebulan. Namun dia boleh memperoleh wang lebih banyak daripada itu. Dan RM101 itu sebagai dana untuk membayar ikat jamin dan membeli senjata serta membantu keluarga ahli kumpulan yang terbunuh.

"Kami berada dalam perlindungan kegiatan haram. Terdapat banyak tempat untuk kami melakukan peras ugut. Kami memperoleh banyak wang. Jadi RM101 begitu sedikit. Namun apa saja yang diperoleh, kami akan gunakan untuk minum dan berseronok. Ia hanya kehidupan yang sia-sia."

Kumpulan itu akan meminta salah seorang ahli untuk mendapatkan pekerjaan di kilang-kilang untuk mendapatkan maklumat mengenai barang-barang dan tempat simpanan wang.

"Apabila mereka sudah ada maklumat secukupnya, mereka akan bertindak," kata Vasu.

Menurutnya, terdapat tiga atau empat ketua utama dalam kumpulan itu.

Mereka akan meminta ahli-ahli kumpulan untuk bekerja dengan VIP.

"Kami sering bekerja untuk Datuk dan Tan Sri, melindungi tapak kerja mereka dan perkara seperti itu. Kami adalah orang upah mereka.

"Jika kami ditangkap, ketua kumpulan atau VIP akan memberi rasuah kepada polis untuk membebaskan atau mengikat jamin kami. Setiap kali bebas, kami menjadi lebih berani kerana tahu kami boleh lepas dengan apa jua cara sekalipun," katanya.

Vasu dilatih untuk menjadi orang kanan yang dipercayai salah seorang ketua kumpulan itu.

Namun ketuanya diculik, mati ditembak dan dikebumikan di dalam estet.

"Kini, isteri dan anak-anaknya menderita. Itu amat menyedihkan.

"Oleh itu, saya berhenti dan meninggalkan kumpulan tersebut. Sejak dari itu, saya tidak pernah lagi menoleh ke belakang," katanya yang kini menguruskan perniagaan sendiri.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan