Tiada Sebab Exco Selangor Perlu Bayar Petrol Guna Wang Sendiri

Diterbitkan: Rabu, 4 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor dan para Exconya tidak perlu membayar kos petrol menggunakan wang sendiri kerana pengurangan subsidi bahan api itu bukannya keputusan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, tiada sebab mereka perlu berbuat demikian (bayar kos petrol).

"Apa yang cuba dikatakan Rafizi (Ahli Parlimen Pandan) adalah apabila menteri buat keputusan (untuk menaikkan harga petrol) mereka (menteri) harus membayar petrol sendiri supaya mereka memahami beban yang ditanggung rakyat.

"Tapi bukan kita buat keputusan (menaikkan harga petrol) itu. Mengapa kita patut berbuat demikian? Tiada sebab untuk meminta kami melakukannya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang meminta pemimpin Pakatan Rakyat turut membayar kos petrol menggunakan wang sendiri seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Rafizi pada Selasa mencadangkan jemaah menteri menggunakan duit sendiri untuk menampung kos petrol pengangkutan mereka dan bukannya menggunakan peruntukan yang diberi.

Teng berkata sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU - 13 ), 5 Mei lalu, mereka tidak akan menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen kerana menyedari ia akan membebankan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel masing-masing sebanyak 20 sen sebagai salah satu langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

Pada masa ini, kerajaan menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON 95 dan RM1 seliter bagi diesel.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan