Permohonan PR Tidak Dapat Diproses Kerana Tiada Makluman Perubahan Pucuk Pimpinan - ROS

Diterbitkan: Isnin, 2 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) tidak dapat memproses permohonan Pakatan Rakyat (PR) sebagai sebuah parti politik kerana parti itu tidak pernah memaklumkan mengenai penukaran pucuk pimpinan mereka sejak 2009.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, hanya sekali PR mengemukakan permohonan kepada ROS untuk mendaftarkan pertubuhan berkenaan sebagai sebuah parti politik.

"PR hanya mohon sekali pada 2009, mereka sepatutnya maklum kepada kita berhubung pucuk pimpinan parti.

"Tapi mereka tak maklum kepada kita. Kita hanya dengar daripada media," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil pendaftaran kepada 20 parti politik yang baru diluluskan di ibu pejabat ROS, di sini, Isnin.

Beliau berkata, permohonan PR tidak dapat diproses kerana maklumat mengenai perubahan pucuk pimpinan tidak dimaklumkan kepada ROS.

"Paling elok, maklumkan pada kita. Kita akan pertimbangkan. Ini kita tidak tahu mereka masih berminat atau tidak," katanya.

Pada 2009, Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP telah bergabung sebagai sebuah pakatan.

Namun sehingga kini status Pakatan Rakyat sebagai sebuah pertubuhan yang sah tidak diluluskan oleh ROS.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, ROS tidak menerima sebarang makluman daripada DAP berhubung pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.

Beliau berkata, ROS hanya mendapat maklumat melalui media massa namun tiada sebarang surat diserahkan kepada pihaknya.

Abdul Rahman berkata, senarai 500 perwakilan juga tidak diterima ROS.

"Sepatutnya dia mesti buat cepat-cepat sebab CEC sudah tidak sah.

"Sampai hari ini belum dapat apa-apa. Dia cakap sahaja nak buat pada September. Kata nak kemukakan 500 nama. Sampai sekarang tiada lagi," katanya.

DAP telah pun mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan pemilihan semula CEC pada 29 September ini.

Menurut DAP, senarai calon untuk pemilihan semula itu adalah sama dengan yang digunakan pada kongres DAP 2012.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan