Musa Sheikh Fadzir Tawar Tanding Jawatan MT Umno

Diterbitkan: Isnin, 2 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menawarkan diri bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan parti Oktober ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman ketika mengumumkan perkara itu berkata, Umno negeri akan memberi sokongan penuh kepada Musa.

"Saya berharap negeri-negeri lain juga dapat memberi sokongan kerana beliau merupakan seorang yang lantang dalam memperjuangkan nasib orang Melayu di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri, di sini Isnin.

Zainal Abidin turut mengumumkan beliau dan timbalannya Datuk Seri Dr Hilmi Yahya tidak akan bertanding pada pemilihan parti kali ini untuk memberi tumpuan kepada kerja-kerja mengukuhkan parti di peringkat negeri.

Beliau juga berkata, lebih banyak muka baharu di kalangan Pemuda dan Puteri Umno negeri akan diketengahkan untuk bertanding di peringkat sayap masing-masing pada pemilihan kali ini.

"Mereka telah dikenal pasti dan ini merupakan antara pelapis atau generasi muda yang akan diberi peluang untuk bertanding di peringkat Pemuda dan Puteri bagi menimba pengalaman lebih luas," katanya.

Sementara itu, Musa berkata beliau juga akan mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan